PENGENALAN
Penganjuran Minggu Sains Negara oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di seluruh negara pada setiap tahun telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 13 Disember 2017 sebagai salah satu inisiatif sains kebangsaan. Minggu Sains Negara yang julung kalinya telah diadakan pada 1 hingga 7 April 2018 telah mendapat sambutan yang meriah daripada kalangan pelbagai lapisan masyarakat. Penganjuran Minggu Sains Negara ini juga adalah selari dengan sambutan World Science Day yang dianjurkan oleh United Nations Organization for Education, Science and Culture (UNESCO) semenjak tahun 2002.

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) selaku peneraju penganjuran Minggu Sains Negara 2020 Peringkat Negeri Melaka telah mengatur pelbagai pengisian program pada bulan September hingga Oktober 2020 secara maya. Ini termasuk penganjuran Pertandingan Rekabentuk dan Pembangunan Model Nano Satelit Peringkat Siswazah (SiswaSAT) 2020, Pertandingan Mereka Cipta Model Stesen Satelit Bumi untuk Pelajar Sekolah Rendah dan Satelit untuk Pelajar Sekolah Menengah, Space Rocks, Pertandingan Astrofoto dan Aktiviti Eksperimen Sains di Rumah. Selain itu, MYSA dan rakan strategik UTeM juga turut menganjurkan program-program secara maya iaitu Smart Tani for Kids, Fun Coding: Scratch Game Design with Visual Coding, Learn C++ with Arduino: Line following for beginners, Make A YouTube Channel: Animation and Storytelling for STEM bagi tempoh yang sama iaitu September hingga Oktober 2020.
OBJEKTIF PENGANJURAN MINGGU SAINS NEGARA
- Meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kehidupan seharian;
- Menarik minat dan meningkatkan bilangan pelajar yang memilih jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) selaras dengan agenda STEM Negara; dan
- Menghargai dan mengiktiraf sumbangan dan kejayaan dalam bidang sains.