MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

Please note that this article is only available in Bahasa Malaysia.

Sains atmosfera merangkumi kajian atmosfera bumi, prosesnya, kesan pada sistem lain yang ada di atmosfera dan kesan atmosfera kepada sistem-sistem yang lain.  Sains atmosfera meliputi meterologi, klimatologi dan  aeronomi. Kini, sains atmosfera telah diperluaskan kepada bidang sains planet dan kajian atmosfera planet-planet lain dalam sistem suria. Instrumen eksperimen yang digunakan untuk kajian sains atmosfera meliputi satelit, roketsond, radiosond, belon cuaca dan laser. Pelbagai misi satelit pencerapan bumi telah berjaya disiapkan pada abad ke-20 dan pengetahuan mengenai sains bumi telah dikumpulkan.  Satelit –satelit yang dilancarkan untuk penyelidikan gunaan pelbagai disiplin (multidisplinary applied research) meliputi pemantauan persekitaran, kitaran air dan pengurusan sumber air, pemantauan zarah persekitaran atmosfera, pemantauan anjakan infrastruktur, sistem iklim dan proses sinaran, ekosistem, pertanian dan kesihatan awam.    Kini kehidupan harian kita diancam oleh perubahan persekitaran bumi yang disebabkan oleh aktiviti manusia seperti pembasmian hutan, pemusnahan lapisan ozon dan pemanasan bumi, fenomena semulajadi seperti gempa bumi, letupan gunung berapi, perubahan iklim dan sebagainya. Misi tersebut telah menyumbang kepada penyelesaian saintifik untuk pelbagai masalah sistem bumi, contohnya tahap darjah kesan iklim secara langsung dan tidak langsung daripada pencemaran udara yang merupakan salah satu faktor pemanasan global yang berdasarkan data daripada satelit pencerapan bumi.  Juga data yang diperolehi daripada satelit pencerapan bumi mempunyai penggunaan praktikal dalam bidang yang berkaitan dengan cuaca harian, cuaca laut dan kawasan tanah.  Dengan itu, satelit pencerapan bumi merupakan sistem yang sangat berkesan dan berguna yang direka untuk memainkan peranan penting dalam kedua-dua sains maju dan kegunaan praktikal.  

Skip to content