Komet C/2024 G3 (ATLAS) merupakan komet bukan berkala yang telah mencapai perihelion pada 13 Januari lalu dengan jarak 0.09 AU dari Matahari. Komet ini telah dijumpai oleh system peninjau Asteroid Terrestrial-impact Last Alert System (ATLAS) di Rio Hurtado, Chile pada 5 April 2024 dengan menggunakan teleskop bersaiz 0.5 meter. Komet C/2024 G3 (ATLAS) ini dijangka menjadi komet yang paling terang sejak 20 tahun kebelakangan sehingga mampu dilihat dengan mata kasar dan boleh dicerap menggunakan teleskop pada siang hari.
Bagi peminat astronomi di Malaysia, komet ini boleh dicerap pada siang hari dengan menggunakan teleskop. la juga boleh dilihat dengan mata kasar bermula pada 14 Januari sehingga 19 Januari 2025 yang berada rendah di ufuk Barat semasa Matahari terbenam. Kecerahan komet ini dianggarkan boleh mencapai sehingga -3.8 Magnitud yang secerah planet Zuhrah pada 14 Januari. Semakin komet ini menjauhi Bumi, kecerahannya juga semakin berkurangan/malap dengan cepat.
Namun perlu diingatkan kedudukan komet ini adalah dekat dengan matahari dan boleh jadi merbahaya kepada pencerap yang tidak mahir. Oleh itu, adalah disarankan untuk mengambil langkah keselamatan kerana kesilapan dalam menjalankan pencerapan komet ini pada siang hari berpotensi mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada instrumentasi, malah kepada pencerap.