MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

MATAHARI PADA 6 FEBRUARI 2024
MATAHARI PADA 6 FEBRUARI 2024
TM A MATAHARI PADA 6 FEBRUARI 2024
TM B MATAHARI PADA 6 FEBRUARI 2024
Tiga imej Matahari (I, II dan III) ini telah berjaya dirakam menggunakan penapis cahaya tampak (whitelight), Calcium II K-line (Ca ll K-line) dan H-alpha (hydrogen-alpha) di Observatori Negara Langkawi pada 6 Februari 2024.
 
Penapis cahaya tampak (whitelight) membenarkan kita mencerap permukaan fotosfera Matahari manakala penapis Ca II K-line hanya membenarkan cahaya dengan panjang gelombang 393.4 nanometer untuk melaluinya dan digunakan untuk mencerap lapisan kromosfera bawah Matahari. Penapis H-alpha pula membenarkan cahaya dengan panjang gelombang sekitar 656.3 nanometer untuk melaluinya dan digunakan untuk mencerap lapisan atas kromosfera Matahari.
 
Imej Matahari I dan II menunjukkan terdapat sebelas kumpulan Tompok Matahari yang diberi nama AR3565, AR3567, AR3570, AR3571, AR3572, AR3573, AR3574, AR3575, AR3576, AR3577 dan AR3578. Tompok Matahari adalah kawasan sejuk di lapisan fotosfera yang dihasilkan oleh perubahan setempat di dalam medan magnet Matahari serta cenderung untuk terbentuk dalam kumpulan-kumpulan. Tompok Matahari merupakan fenomena sementara pada fotosfera Matahari yang kelihatan sebagai tompokan gelap berbanding kawasan sekitarnya.
 
Ia mempunyai medan magnet yang kuat dan menyebabkan tekanan atmosfera di sekitarnya menurun. Oleh itu, suhunya adalah lebih rendah (sejuk) berbanding dengan persekitarannya kerana medan magnet ini telah menghalang pengaliran gas panas ke permukaan Matahari. Kebiasaannya, jangka hayat kumpulan Tompok Matahari mengambil masa di antara beberapa hari hingga beberapa minggu.
 
Kawasan yang terang pada imej Matahari III dikenali sebagai “plage” yang sering mengelilingi kumpulan Tompok Matahari dan merupakan salah satu ciri lapisan kromosfera. Ia menandakan kehadiran medan magnet yang kuat berhampiran dengan kumpulan Tompok Matahari tertentu dan berpotensi untuk menghasilkan letusan suar suria dan sebagainya. Jaluran gelap pada imej ini pula dikenali sebagai filamen atau semarak (prominence) apabila ia berada pada sisi Matahari yang merupakan fenomena gelungan besar gas bercahaya yang berlaku di lapisan kromosfera dan korona Matahari.
Skip to content