MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

KEMUNCAK FENOMENA HUJAN METEOR PERSEIDS PADA 12 OGOS 2024
TM
TM A
Kemuncak Hujan Meteor Perseids dijangka berlaku pada malam 12 Ogos 2024 hingga subuh 13 Ogos 2024 dengan purata 100 meteor per jam. Di Malaysia, kenampakan hujan meteor tersebut adalah baik kerana Bulan akan terbenam pada tengah malam semasa waktu kemuncak fenomena ini berlaku.
.
Hujan Meteor Perseids merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Perseus. Walau bagaimanapun, kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah. Fenomena ini berlaku setiap tahun apabila Bumi beredar mengelilingi Matahari dan merentasi laluan orbit Komet Swift-Tuttle.
.
Komet Swift-Tuttle dianggarkan mempunyai nukleus yang berdiameter sebesar 26 kilometer dan mengambil masa selama 133 tahun untuk melengkapkan orbitnya. Komet ini kali terakhir mendekati Bumi pada tahun 1992 dan dijangkakan akan menghampiri Bumi semula pada tahun 2126. Semasa komet tersebut mengorbit menghampiri Matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akhirnya akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet tersebut. Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera Bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang.
.
Tips yang boleh digunakan untuk mencerap Hujan Meteor Perseids:
🔸Pastikan anda berada di kawasan lapang yang selamat serta keadaan persekitaran dan langit yang gelap (tiada gangguan cahaya).
🔸Pandangan anda juga tidak terhalang dengan bangunan yang tinggi, pokok atau rumah.
🔸Jauhi persekitaran yang bercahaya. Lebih gelap, lebih baik.
🔸Sesuaikan mata anda dengan keadaan yang gelap selama 20 minit.
🔸Tidak perlu memfokuskan ke arah buruj Perseus sahaja untuk melihat hujan meteor ini kerana ia boleh muncul dari pelbagai arah dan pada bila-bila masa.
.
NOTA KAKI
â–ªKomet merupakan pepejal gabungan antara batuan debu dan ais yang tersebar apabila mengorbit mendekati matahari.
â–ªKomet Swift-Tuttle pertama kali dijumpai pada tahun 1862 oleh Lewis Swift dan Horace Tuttle.
â–ªPerseus ialah buruj langit utara. Ia terletak di antara buruj Auriga dengan buruj Cassiopeia. Mirfak adalah bintang yang paling terang di Persues dan saiznya lebih besar daripada Matahari.
Skip to content