Hujan Meteor Eta Aquarids merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Aquarius, tetapi kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah. Hujan meteor ini dinamakan sempena bintang paling terang dalam buruj Aquarius, iaitu Eta Aquarii. Fenomena ini berlaku setiap tahun apabila Bumi beredar mengelilingi Matahari merentasi laluan orbit komet 1P/Halley atau dikenali sebagai Komet Halley. Hujan Meteor Eta Aquarids merupakan salah satu hujan meteor yang disebabkan oleh debu komet Halley selain Hujan Meteor Orionids yang berlaku pada bulan Oktober setiap tahun.
.
Komet Halley dianggarkan mengambil masa selama 75 hingga 76 tahun untuk melengkapkan orbitnya. Semasa komet tersebut mengorbit menghampiri Matahari, debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akhirnya akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa komet tersebut. Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera Bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang.
.
𝗧𝗶𝗽𝘀 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗯𝗼𝗹𝗲𝗵 𝗱𝗶𝗴𝘂𝗻𝗮𝗸𝗮𝗻 𝘂𝗻𝘁𝘂𝗸 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗿𝗮𝗽 𝗛𝘂𝗷𝗮𝗻 𝗘𝘁𝗮 𝗔𝗾𝘂𝗮𝗿𝗶𝗱𝘀:
Pastikan pencerapan dilakukan di kawasan yang lapang dan tiada halangan seperti bangunan tinggi, pokok atau rumah.
Cuba dapatkan permandangan langit yang luas.
Jauhi persekitaran yang bercahaya. Kawasan lebih gelap adalah yang terbaik.
Sesuaikan mata dengan tahap kegelapan selama 15 – 20 minit.
Tidak perlu fokus ke arah buruj Aquarius sahaja untuk melihat hujan meteor ini. Ia boleh muncul dari pelbagai arah dan pada bila-bila masa.
Meteor – atau (dikenali juga sebagai tahi bintang) merupakan jaluran cahaya terang yang kelihatan di langit malam dengan kelajuan yang pantas dan secara tiba-tiba. Ia disebabkan oleh habuk dan batu-batu kecil yang terbakar apabila ia memasuki atmosfera Bumi dalam kelajuan yang sangat tinggi.
Hujan Meteor – Fenomena astronomi sewaktu malam apabila beberapa meteor diperhatikan terpancar atau datang dari satu titik di langit malam.
Aquarius ialah buruj zodiak hemisfera selatan yang luas yang berhampiran dengan Pegasus, dan bintang tercerahnya terdiri daripada bintang magnitud ketiga. Aquarius dilambangkan oleh seorang lelaki yang membawa sebuah kendi air.
Komet ialah jasad cakerawala yang beredar mengelilingi Matahari dan meninggalkan kesan ekor yang bercahaya.
Pemejalwapan – Perubahan fasa pepejal kepada fasa wap tanpa melalui fasa cecair. Wap berubah semula kepada pepejal apabila terkondensasi pada permukaan sejuk.