MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

IMEJ MATAHARI PADA 13 NOVEMBER 2023
IMEJ MATAHARI PADA 13 NOVEMBER 2023
Imej Matahari 1 dan 2 yang telah berjaya dirakam di Observatori Negara Langkawi (ONL) pada 13 November 2023.
.
Imej 1 adalah Matahari yang dirakam menggunakan penapis cahaya tampak (whitelight) yang menunjukkan kumpulan Tompok Matahari pada lapisan fotosfera. Terdapat lima kumpulan Tompok Matahari yang dinomborkan secara berturutan mengikut turutan kemunculannya pada permukaan Matahari iaitu AR3477, AR3483, AR3484, AR3485 dan AR3486. Tompok Matahari merupakan aktiviti suria yang wujud di permukaan fotosfera Matahari dengan pelbagai saiz dan bentuk serta berkait rapat dengan kehadiran medan magnet yang kuat di kawasan tersebut. Sesetengah kumpulan Tompok Matahari mempunyai struktur medan magnet yang lebih kompleks berbanding dengan kumpulan Tompok Matahari yang lain dan berkemungkinan menghasilkan letusan suar suria. Tompok ini kelihatan lebih gelap kerana suhunya yang lebih sejuk iaitu sekitar 3500 darjah Celcius berbanding kawasan fotosfera Matahari yang lain iaitu sekitar 5500 darjah Celcius.
.
Imej 2 pula adalah imej sebahagian Matahari yang dirakam dengan menggunakan penapis H-alpha (hydrogen-alpha). Penapis H-alpha hanya membenarkan cahaya yang mempunyai panjang gelombang sekitar 656.3 nanometer untuk melaluinya dan digunakan untuk mencerap lapisan atas Kromosfera Matahari. Kawasan yang terang pada imej Matahari ini dikenali sebagai “plage” yang sering mengelilingi Tompok Matahari dan merupakan salah satu ciri lapisan kromosfera. Ia menandakan kehadiran medan magnet yang kuat berhampiran dengan Kumpulan Tompok Matahari tertentu dan berpotensi untuk menghasilkan letusan suar suria dan sebagainya. Jaluran gelap pada imej ini pula dikenali sebagai filamen atau prominens apabila ia berada pada sisi Matahari yang merupakan fenomena gelungan besar gas bercahaya yang berlaku di lapisan kromosfera dan korona Matahari.
Skip to content