Fenomena Gerhana Matahari Anulus ini berlaku 4.6 hari selepas Bulan berada pada kedudukan apogee, iaitu kedudukan Bulan terjauh dari Bumi di dalam orbit Bulan mengelilingi Bumi dengan jarak 405,426km. Magnitud Gerhana Matahari Anulus kali ini adalah 0.952.
.
Laluan Gerhana Matahari Anulus (Lintasan Bayang Antumbra Bulan) dengan kelebaran 190 – 220km dan sejauh 13,800km ini akan bermula di Lautan Pasifik, melintasi Oregon hingga ke Texas di Amerika Utara, kemudian melintasi sebahagian Amerika Tengah, Colombia dan Brazil di Amerika Selatan sebelum diakhiri di Lautan Atlantik. Gerhana Matahari Separa pula akan kelihatan dalam lingkungan bayangan penumbra Bulan yang lebih luas yang meliputi sebahagian besar Amerika Utara, Amerika Tengah dan Amerika Selatan.
.
𝗡𝗼𝘁𝗮 𝗞𝗮𝗸𝗶:
Umbra adalah bahagian bayang yang sangat gelap (bayang Bumi atau Bulan).
Penumbra adalah bahagian bayang luaran separa gelap (bayang Bumi atau Bulan).
Antumbra adalah bahagian bayang yang muncul di luar umbra pada jarak tertentu dari objek yang menghasilkan bayang. Ia hanya wujud jika sumber cahaya mempunyai diameter yang lebih besar daripada objek yang disinari.
Gerhana Matahari (Solar eclipse) berlaku apabila kedudukan bulan terletak di antara Bumi dan Matahari menyebabkan cahaya Matahari terlindung sama ada separa atau sepenuhnya.
Magnitud gerhana (Eclipse magnitude) adalah pecahan diameter sudut (angular diameter) Matahari yang dilitupi oleh Bulan. Dinyatakan dalam peratus atau pecahan perpuluhan (contoh: 50% atau 0.50).
Eclipse obscuration adalah pecahan kawasan Matahari yang dilitupi oleh Bulan. Dinyatakan dalam peratus atau pecahan perpuluhan (contoh: 50% atau 0.50).
Litupan adalah peratusan cakera Matahari dilitupi semasa gerhana maksimum.