MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

EARTHSHINE PADA 21 JUN 2023
EARTHSHINE 21 JUN 2023

Imej menunjukkan Earthshine yang telah dicerap dari Observatori Negara Langkawi pada 21 Jun 2023 jam 8:02 malam ketika fasa Bulan Sabit Muda (10%). Fenomena Earthshine berlaku apabila cahaya Matahari dipantulkan dari permukaan Bumi dan menerangi bahagian permukaan Bulan yang tidak bercahaya sama ada ketika fasa Bulan Sabit Muda iaitu ketika Matahari terbenam, atau fasa Bulan Sabit Tua iaitu sebelum Matahari terbit.

.
Kecerahan Earthshine juga dipengaruhi oleh albedo Bulan. Albedo ialah ukuran jumlah cahaya Matahari yang boleh dipantulkan oleh sesuatu objek. Bulan mempunyai purata albedo 0.12, manakala purata albedo Bumi ialah 0.3. Hal ini bermakna Bulan memantulkan kira-kira 12% cahaya Matahari yang sampai kepadanya manakala Bumi memantulkan kira-kira 30% daripada semua cahaya Matahari yang mengenai permukaannya. Justeru, Bumi akan kelihatan lebih terang apabila dilihat dari Bulan berbanding dengan Fasa Bulan Purnama yang dilihat dari Bumi. Earthshine juga selalunya kelihatan lebih terang pada bulan April hingga Jun.

.
Memandangkan cahaya yang menghasilkan Earthshine dipantulkan sebanyak dua kali, iaitu sekali daripada permukaan Bumi dan kemudian daripada permukaan Bulan, cahaya tersebut jauh lebih malap daripada bahagian Bulan yang disinari cahaya Matahari secara terus. Waktu terbaik untuk mencerap Earthshine ialah beberapa hari sebelum dan selepas fasa Bulan Baharu, sejurus selepas Matahari terbenam atau sebelum Matahari terbit.

.
Fenomena ini juga dipanggil “planetshine” apabila berlaku pada satelit semulajadi di planet lain.

.
#MYSA #MOSTI #ONL
#merakyatkansains #menginsankanteknologi

Skip to content