MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

KOMET C/2023 P1 (NISHIMURA)
Komet C/2023 P1 (Nishimura)

Komet C/2023 P1 (Nishimura) telah ditemui oleh Hideo Nishimura, seorang ahli astronomi amatur Jepun pada 12 Ogos 2023 dengan menggunakan kanta telefoto berdiameter 200mm f/3 dengan kamera Canon EOS 6D di Gomyo, Kakegawa, Jepun. Ketika ditemui, magnitud ketara (kecerahan) komet itu adalah 11.0 di buruj Gemini. Pada 15 – 16 Ogos 2023, Komet C/2023 P1 (Nishimura) telah melintasi orbit Bumi ketika komet itu bergerak menghampiri Matahari. Komet itu bergerak dengan laju dan dijangka akan melintasi orbit Zuhrah sekitar 27 Ogos 2023 dan seterusnya orbit Utarid pada 9 September 2023.

.
Komet C/2023 P1 (Nishimura) akan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan Bumi pada jarak sekitar 0.85 AU pada 13 September 2023. Selepas 5 hari, iaitu 18 September 2023, Komet C/2023 P1 (Nishimura) akan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan Matahari (perihelion) dengan jarak sekitar 0.23 AU. Dari sudut pandang langit malam Bumi pula, komet itu akan melintasi beberapa buruj zodiak, iaitu dari buruj Gemini ke buruj Cancer pada akhir Ogos 2023, Leo pada pertengahan September 2023 dan Virgo pada hujung September 2023.

.
Komet C/2023 P1 (Nishimura) dijangka akan kelihatan lebih terang dan boleh dilihat dengan mata kasar apabila mendekati Matahari dan Bumi pada pertengahan September 2023. Magnitud ketara (kecerahan) Komet C/2023 P1 (Nishimura) dijangka sekitar 2 – 10 dan boleh dicerap dengan jelas dengan binokular atau teleskop kecil sekiranya cuaca adalah baik dan langit adalah gelap. Komet C/2023 P1 (Nishimura) hanya akan kelihatan di langit timur di Malaysia mulai sekarang sehingga 7 September 2023 pada waktu sebelum subuh (kira-kira 1 jam sebelum Matahari terbit) dan tidak dapat kelihatan selepas tarikh itu kerana kenampakannya adalah pada waktu siang di Malaysia.

.
Orang ramai boleh menggunakan aplikasi astronomi seperti Stellarium, The SkyLive Planetarium, SkySafari dan lain-lain untuk menyemak waktu komet C/2023 P1 (Nishimura) terbit dan terbenam di lokasi masing-masing dan mendapatkan anggaran waktu kenampakan komet tersebut.

.
𝗡𝗼𝘁𝗮 𝗸𝗮𝗸𝗶:
▪Komet ialah jasad cakerawala yang terdiri daripada gumpalan batu, ais dan debu serta campuran gas yang bergerak mengelilingi Matahari dalam Sistem Suria. Ia membeku apabila menjauhi Matahari tetapi akan mengewap membentuk kepala bergas (koma) dan ekor apabila mendekati Matahari.
▪Kanta telefoto ialah kanta yang digunakan khusus untuk merakam gambar dari jarak jauh dan apabila dilihat dalam gambar, imej subjeknya kelihatan seperti berada dekat. Ukuran kanta ini lebih panjang dari kanta biasa.
▪Unit astronomi (Astronomical Unit) disingkatkan sebagai AU, adalah jarak purata antara Matahari dan Bumi. 1AU bersamaan dengan 1.5 x10⁸ km.
▪Perihelion ialah kedudukan dalam orbit apabila sesuatu planet atau komet berada paling hampir dengan Matahari.
▪Magnitud ketara ialah kecerahan sesuatu objek di langit malam.
▪Zodiak ialah garisan melengkung khayalan di langit yang menjadi laluan Matahari, Bulan dan planet apabila dilihat dari Bumi. Ia terbahagi kepada 12 bahagian, dan setiap satunya dinamakan mengikut nama dua belas gugusan bintang zodiak.

.
𝗦𝗨𝗠𝗕𝗘𝗥 𝗥𝗨𝗝𝗨𝗞𝗔𝗡:
✅https://earthsky.org/…/new-comet-c-2023-p1-nishimura…/
✅https://theskylive.com/c2023p1-info
✅https://starwalk.space/en/news/new-comet-c2023-p1
✅https://skyandtelescope.org/…/comet-c-2023-p1-nishimura/
✅https://minorplanetcenter.net/mpec/K23/K23P87.html
✅https://www.universetoday.com/…/comet-p1-nishimura…/
✅http://www.aerith.net/comet/catalog/2023P1/2023P1.html

.
#MYSA #MOSTI #ONL
#merakyatkansains #menginsankanteknologi

Skip to content