Pada 27 Ogos 2023, planet Zuhal telah berada pada kedudukan “opposition” atau dikenali sebagai istiqbal, iaitu kedudukan bertentangan dengan Matahari merujuk kepada Bumi. Planet ini merupakan planet keenam dari Matahari dan planet kedua terbesar dalam Sistem Suria kita.
.
Selepas “opposition”, planet Zuhal akan kelihatan di langit malam di ufuk timur dan kenampakannya semakin menghala ke arah barat sehingga Disember 2023. Sekiranya cuaca mengizinkan, anda boleh memerhatikan planet Zuhal menggunakan mata kasar sahaja dengan menghadap ke ufuk timur yang bebas daripada sebarang halangan. Zuhal akan kelihatan sebagai titik yang terang dan tidak berkelip. Sekiranya anda ingin memerhatikan sistem gegelang Zuhal, penggunaan binokular dan teleskop adalah digalakkan. Orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi astronomi seperti TheSky, SkySafari, Stellarium dan lain-lain untuk menyemak waktu Zuhal terbit dan terbenam di lokasi masing-masing dan mendapatkan anggaran waktu kenampakan planet tersebut.