Hujan Meteor Lyrids terkenal dengan kelajuannya dan kelihatan terang walaupun tidak sepantas atau sebanyak Hujan Meteor Perseids. Kenampakan Hujan Meteor Lyrids sebanyak 100 meteor per jam pernah berlaku pada tahun 1803 di Virginia, 1922 di Greece, 1945 di Jepun dan 1982 di Amerika Syarikat. Secara umumnya, sekitar 10 hingga 20 meteor per jam boleh dilihat semasa kemuncak ianya berlaku.
.
Hujan Meteor Lyrids merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Lyra. Walau bagaimanapun, kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah. Fenomena ini berlaku setiap tahun apabila Bumi beredar mengelilingi Matahari merentasi laluan orbit Komet C/1861 G1 atau lebih dikenali sebagai Komet Thatcher.
.
Komet Thatcher dianggarkan mengambil masa selama 415 tahun untuk melengkapkan orbitnya. Kali terakhir ia mencapai jarak yang paling dekat dengan Matahari pada tahun 1861 dan dijangka dapat dilihat dari Bumi semula pada tahun 2276. Semasa komet tersebut mengorbit menghampiri Matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet tersebut. Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera Bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang.
.
๐ก๐ผ๐๐ฎ ๐ธ๐ฎ๐ธ๐ถ:
Lyra ialah buruj kecil atau sekumpulan bintang yang kedudukannya berlambangkan alat muzik bertali berbentuk seperti harp. Lyra dikelilingi oleh buruj Draco, Hercules, Vulpecula dan Cygnus.
Komet ialah jasad cakerawala yang beredar mengelilingi Matahari dan meninggalkan kesan ekor yang bercahaya.