Planet Marikh merupakan planet keempat dari Matahari dan saiznya adalah separuh daripada saiz Bumi. Marikh juga dikenali sebagai ‘Planet Merah’ kerana warna permukaannya yang kemerahan apabila dilihat dari langit.
Semasa oposisi pada kali ini, permukaan Marikh yang menghadap Bumi akan disinari sepenuhnya oleh Matahari dan boleh dilihat dengan lebih terang berbanding ketika ia berada pada kedudukan lain. Ia juga akan kelihatan sepanjang malam di buruj Taurus pada jarak sekitar 1.53 unit astronomi (AU) dari Matahari dan hampir 0.55AU dari Bumi. Diameter ketara Marikh sebanyak 17 saat arka dan magnitud ketara (kecerahan) Marikh dijangka sekitar -1.9 pada kedudukan oposisi.
Selepas oposisi, planet Marikh akan kelihatan di langit malam di ufuk timur selepas Matahari terbenam (pada waktu maghrib) dan kenampakannya semakin menghala ke arah barat sehingga pertengahan Ogos 2023. Sekiranya cuaca mengizinkan, anda boleh memerhatikan planet Marikh menggunakan mata kasar sahaja dengan menghadap ke ufuk timur yang bebas daripada sebarang halangan pada awal malam. Marikh akan kelihatan sebagai titik yang terang kemerahan dan tidak berkelip. Sekiranya anda ingin memerhatikan permukaan Marikh yang berwarna merah serta penutup kutub luaran yang berwarna putih, penggunaan teleskop adalah digalakkan.
Planet Marikh akan mengalami oposisi dalam tempoh setiap 26 bulan. Kali terakhir ianya berada pada kedudukan oposisi ialah pada 13 Oktober 2020 dan seterusnya pada 15 Januari 2025.
.
𝗡𝗼𝘁𝗮 𝗸𝗮𝗸𝗶:
*𝗧𝗮𝘂𝗿𝘂𝘀 ialah buruj zodiak yang berlambangkan lembu jantan.
*𝗨𝗻𝗶𝘁 𝗮𝘀𝘁𝗿𝗼𝗻𝗼𝗺𝗶 (𝗔𝘀𝘁𝗿𝗼𝗻𝗼𝗺𝗶𝗰𝗮𝗹 𝗨𝗻𝗶𝘁) disingkatkan sebagai AU, adalah jarak purata antara Matahari dan Bumi. 1AU bersamaan dengan 1.5 x108 km
*𝗗𝗶𝗮𝗺𝗲𝘁𝗲𝗿 𝗸𝗲𝘁𝗮𝗿𝗮 ialah diameter sudut jasad samawi dalam sebutan minit dan saat arka.
*𝗠𝗮𝗴𝗻𝗶𝘁𝘂𝗱 𝗸𝗲𝘁𝗮𝗿𝗮 ialah kecerahan sesuatu objek di langit malam.