Pada 27 September 2022 jam 03:25 pagi, planet Musytari (Jupiter) akan berada pada kedudukan oposisi (opposition) atau dikenali sebagai istiqbal, iaitu kedudukan bertentangan dengan Matahari merujuk kepada Bumi. Planet ini adalah planet kelima dari Matahari dan merupakan planet terbesar dalam Sistem Suria kita.
.
Semasa oposisi pada kali ini, permukaan Musytari yang menghadap Bumi akan disinari sepenuhnya oleh Matahari dan boleh dilihat dengan lebih terang berbanding ketika ia berada pada kedudukan lain. Ia juga akan kelihatan sepanjang malam di buruj Pisces pada jarak sekitar 4.95 unit astronomi (AU) dari Matahari dan hampir 3.95AU dari Bumi. Diameter ketara Musytari sebanyak 48.8 saat arka dan magnitud ketara (kecerahan) Musytari dijangka sekitar -2.9 pada kedudukan oposisi.
.
Selepas oposisi, planet Musytari akan kelihatan di langit malam di ufuk timur pada waktu maghrib dan kenampakannya semakin menghala ke arah barat sehingga pertengahan Mac 2023. Sekiranya cuaca mengizinkan, anda boleh memerhatikan planet Musytari menggunakan mata kasar sahaja dengan menghadap ke ufuk timur yang bebas daripada sebarang halangan pada awal malam. Musytari akan kelihatan sebagai titik yang terang dan tidak berkelip. Sekiranya anda ingin memerhatikan permukaan Musytari dengan ciri luaran yang menonjol iaitu the Great Red Spot serta 4 bulan utamanya, iaitu Io, Europa, Ganymede dan Callisto yang dikenali sebagai Galilean Moons, penggunaan binokular dan teleskop adalah digalakkan.
.
Planet Musytari akan mengalami oposisi dalam tempoh setiap 13 bulan. Kali terakhir ianya berada pada kedudukan oposisi ialah pada 20 Ogos 2021 dan seterusnya pada 3 November 2023.
𝗡𝗼𝘁𝗮 𝗸𝗮𝗸𝗶:
*𝗣𝗶𝘀𝗰𝗲𝘀 ialah buruj zodiak hemisfera utara yang besar tetapi tidak jelas kelihatan berhampiran dengan Pegasus. Buruj ini mengandungi satu bintang magnitud ketiga dan beberapa bintang magnitud keempat.
*𝗨𝗻𝗶𝘁 𝗮𝘀𝘁𝗿𝗼𝗻𝗼𝗺𝗶 (𝗔𝘀𝘁𝗿𝗼𝗻𝗼𝗺𝗶𝗰𝗮𝗹 𝗨𝗻𝗶𝘁) disingkatkan sebagai AU, adalah jarak purata antara Matahari dan Bumi. 1AU bersamaan dengan 1.5 x108 km
*𝗗𝗶𝗮𝗺𝗲𝘁𝗲𝗿 𝗸𝗲𝘁𝗮𝗿𝗮 ialah diameter sudut jasad samawi dalam sebutan minit dan saat arka.
*𝗠𝗮𝗴𝗻𝗶𝘁𝘂𝗱 𝗸𝗲𝘁𝗮𝗿𝗮 ialah kecerahan sesuatu objek di langit malam.