Bulan merupakan satu-satunya satelit semulajadi Bumi. Bulan kepada Bumi adalah yang kelima terbesar daripada lebih 200 bulan yang mengorbit planet dalam Sistem Suria kita. Diameter Bulan ialah 3,476km, iaitu lebih kurang 1/4 daripada diameter Bumi. Jarak purata Bulan ialah sejauh 385,500km dari Bumi.
.
Permukaan Bulan dipenuhi dengan kawah disebabkan oleh hentaman asteroid, komet atau meteorit ke atas permukaan Bulan. Terdapat beberapa kawasan yang berwarna gelap pada permukaan Bulan yang merupakan dataran basalt yang luas terbentuk hasil daripada letusan gunung berapi kuno suatu masa dahulu. Kawasan gelap tersebut dipanggil “Mare” atau “Maria”.
.
Bulan tidak mengeluarkan cahayanya sendiri tetapi memantulkan cahaya Matahari ke mata kita. Seperti Bumi, Bulan juga berputar pada paksinya dan pada masa yang sama, ia beredar mengikut orbitnya mengelilingi Bumi. Semasa Bulan mengorbit Bumi, kedudukan Bulan berubah-ubah dari masa ke masa. Oleh itu, luas permukaan Bulan yang disinari cahaya yang menghadap ke Bumi adalah berbeza-beza pada setiap masa. Bentuknya akan berubah-ubah sepanjang peralihan fasa bulan baru ke fasa bulan penuh dan kembali semula ke fasa bulan baru.
.
Fasa bulan purnama merupakan fasa bulan yang berlaku apabila Bulan berada bertentangan dengan Bumi dan Matahari. Pada kedudukan ini, keseluruhan permukaan Bulan yang disinari cahaya Matahari akan menghadap Bumi dan kelihatan bulat. Imej fasa bulan purnama ini telah dicerap dari Observatori Negara Langkawi pada 14 Julai 2022 jam 12:23 pagi.
.
𝗡𝗼𝘁𝗮:
*𝗢𝗿𝗯𝗶𝘁 ialah laluan yg diikuti oleh sesuatu planet, satelit dan sebagainya dalam pergerakannya mengelilingi jasad cakerawala yang lain di bawah pengaruh graviti.
*𝗕𝗮𝘀𝗮𝗹𝘁 ialah batu berwarna kehitam-hitaman yang terbentuk daripada leleran gunung berapi.
*𝗠𝗲𝘁𝗲𝗼𝗿𝗶𝘁 ialah badan pepejal yang sampai ke permukaan planet atau bulan dari angkasa lepas.