Semasa peristiwa oposisi (opposition) pada kali ini, permukaan Zuhal yang menghadap Bumi akan disinari sepenuhnya oleh Matahari dan boleh dilihat dengan lebih terang berbanding ketika ia berada pada kedudukan lain. Ia juga akan kelihatan sepanjang malam di buruj Capricornus pada jarak sekitar 10 unit astronomi (AU) dari Matahari dan hampir 9AU dari Bumi. Diameter ketara Zuhal sebanyak 18.8 saat arka dan magnitud ketara (kecerahan) Zuhal dijangka sekitar 0.3 pada kedudukan oposisi.
.
Selepas oposisi, planet Zuhal akan kelihatan di langit malam di ufuk timur dan kenampakannya semakin menghala ke arah barat sehingga Januari 2023. Sekiranya cuaca mengizinkan, anda boleh memerhatikan planet Zuhal menggunakan mata kasar sahaja dengan menghadap ke ufuk timur yang bebas daripada sebarang halangan. Zuhal akan kelihatan sebagai titik yang terang dan tidak berkelip. Sekiranya anda ingin memerhatikan sistem gegelang Zuhal, penggunaan binokular dan teleskop adalah digalakkan.
𝗡𝗼𝘁𝗮 𝗸𝗮𝗸𝗶:
*Capricornus ialah buruj zodiak di hemisfera selatan yang berhampiran dengan Sagittarius. Bintang tercerah terdiri daripada bintang magnitud ketiga.
*Unit astronomi (Astronomical Unit) disingkatkan sebagai AU, adalah jarak purata antara Matahari dan Bumi. 1AU bersamaan dengan 1.5 x10*8 km
*Diameter ketara ialah diameter sudut jasad samawi dalam sebutan minit dan saat arka.
*Magnitud ketara ialah kecerahan sesuatu objek di langit malam.