Planet Musytari dan dua bulannya, iaitu Europa dan Ganymede ini telah dicerap dari Observatori Negara Langkawi pada 4 Julai 2022 jam 5:35 pagi. Musytari merupakan planet yang kelima dari Matahari dan terbesar dalam Sistem Suria. Planet gergasi bergas ini mempunyai jalur dan pusaran yang sebenarnya merupakan awan ammonia dan air yang sejuk dan berangin yang terapung di dalam lapisan atmosfera yang terdiri daripada gas hidrogen dan helium. Planet ini mempunyai satu tompok merah dikenali sebagai ‘The Great Red Spot’ iaitu ribut raksasa bersaiz lebih besar daripada Bumi.
.
Jarak purata Musytari dari Matahari adalah sekitar 778 juta kilometer atau 5.2 Astronomical Unit (AU). Planet terbesar dalam Sistem Suria ini mempunyai diameter berukuran 142,984 km, iaitu lebih kurang 11.2 kali ganda diameter Bumi. Musytari hanya mengambil masa kira-kira 10 jam untuk melengkapkan satu putaran pada paksinya tetapi mengambil masa kira-kira 12 tahun Bumi untuk melengkapkan orbitnya mengelilingi Matahari. Musytari mempunyai beberapa gelang mengelilinginya yang terdiri daripada debu tetapi ia sangat sukar dilihat.
.
Musytari mempunyai 79 bulan setakat ini dan daripada jumlah itu, 4 bulan utama telah diperhatikan oleh ahli astronomi Galileo Galilei pada tahun 1610 dan dikenali sebagai Galilean Satellite/Moons iaitu:
• Io – mempunyai banyak gunung berapi aktif dan tasik lava silikat yang cair di permukaannya;
• Europa – permukaan berais dan berkemungkinan mempunyai lautan air di bawah permukaannya;
• Ganymede – bulan paling besar dalam Sistem Suria dan satu-satunya bulan yang menghasilkan medan magnet sendiri; dan
• Callisto – banyak kawah dengan permukaan berais dan berbatu, mempunyai karbon dioksida, hidrogen dan oksigen di dalam atmosferanya yang nipis.
.
𝗡𝗼𝘁𝗮 𝗸𝗮𝗸𝗶:
*Unit astronomi (Astronomical Unit) disingkatkan sebagai AU, adalah jarak purata antara Matahari dan Bumi. 1 AU bersamaan dengan 1.5 x108 km
𝗥𝘂𝗷𝘂𝗸𝗮𝗻:
https://solarsystem.nasa.gov/planets/jupiter/overview/
.
#MYSA #MOSTI #ONL
#BekerjaBersamaRakyat
#KeluargaMalaysia #merakyatkansains #menginsankanteknologi