Hujan Meteor Delta Aquariids merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Aquarius. Walau bagaimanapun, kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah. Fenomena ini berlaku setiap tahun apabila Bumi beredar mengelilingi Matahari merentasi laluan orbit Komet 96P/Machholz yang merupakan antara komet utama menyebabkan fenomena ini.
. Komet 96P/Machholz dianggarkan mengambil masa selama 5.3 tahun untuk melengkapkan orbitnya. Semasa komet tersebut mengorbit menghampiri Matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet tersebut. Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera Bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang.
. Tips yang boleh anda gunakan untuk mencerap Hujan Meteor Delta Aquariids: Pastikan pencerapan dilakukan di kawasan yang lapang dan tiada halangan seperti bangunan tinggi, pokok atau rumah. Cuba dapatkan permandangan langit yang luas. Jauhi persekitaran yang bercahaya. Lebih gelap, lebih baik Sesuaikan mata dengan tahap kegelapan selama 20 minit. Tidak perlu memfokuskan ke arah buruj Aquarius sahaja untuk melihat meteor-meteor ini. Ia boleh muncul dari pelbagai arah dan pada bila-bila masa.