Imej komet C/2017 K2 atau dikenali sebagai PANSTARRS ini telah dirakam melalui sistem teleskop di Observatori Negara Langkawi pada awal pagi 26 Jun 2022.
.
Komet PANSTARRS telah ditemui oleh ahli astronomi pada Mei 2017 dengan menggunakan Panoramic Survey Telescope and Rapid Response System (Pan-STARRS) di Hawaii, iaitu satu projek kajian pencerapan Near Earth Object (NEO) di bawah seliaan NASA. Ketika itu, komet PANSTARRS berada pada jarak 16AU dari Matahari (iaitu bersamaan dengan 2.4 billion km).
.
Pemerhatian menunjukkan saiz nukleus komet ini adalah sekitar 18km, komanya berdiameter 130,000km, iaitu kira-kira 10 kali ganda diameter Bumi atau sama dengan diameter Musytari dan panjang ekornya adalah sekitar 800,000km.
.
Ahli astronomi menganggarkan bahawa Komet C/2017 K2 (PANSTARRS) telah mengembara dari awan Oort selama kira-kira 3 juta tahun dalam orbit hiperbolik. Kini, Komet PANSTARRS sedang menuju ke arah Bumi dan ia akan berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi sekitar jarak 1.8AU pada 14 Julai 2022 dan pada 19 Disember 2022, komet itu akan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan Matahari (perihelion).
.
Magnitud ketara (kecerahan) Komet PANSTARRS dijangka sekitar 10 – 12 dan sukar dicerap dengan mata kasar. Walau bagaimanapun, kita boleh menggunakan teleskop untuk mencerap komet PANSTARRS mulai Mei hingga September 2022.
.
Bagi masyarakat Malaysia, komet PANSTARRS akan kelihatan di langit di Malaysia mulai Mei 2022 di ufuk timur laut selepas Matahari terbenam dan kenampakannya semakin menghala ke arah langit barat daya sehingga September 2022.
.
𝗡𝗼𝘁𝗮 𝗸𝗮𝗸𝗶:
* Komet ialah jasad cakerawala yang terdiri daripada gumpalan batu, ais dan debu serta campuran gas yang bergerak mengelilingi Matahari dalam Sistem Suria. Ia membeku apabila menjauhi Matahari tetapi akan mengewap membentuk kepala bergas (koma) dan ekor apabila mendekati Matahari.
* Unit astronomi (Astronomical Unit) disingkatkan sebagai AU, adalah jarak purata antara Matahari dan Bumi. 1AU bersamaan dengan 1.5 x10⁸ km.
* Perihelion ialah kedudukan dalam orbit apabila sesuatu planet atau komet berada paling hampir dengan Matahari.
* Magnitud ketara ialah kecerahan sesuatu objek di langit malam.