Pada 24 Jun 2022, awal pagi sebelum Matahari terbit, kesemua planet di dalam Sistem Suria termasuk Bulan kelihatan seakan-akan membentuk garisan lurus di langit.
.
Dari perspektif pemerhati di Bumi, semua planet termasuk Bulan kelihatan seakan-akan membentuk satu garisan lurus di langit timur (Rajah 1), namun sebenarnya kesemua planet adalah tidak sejajar jika dilihat dari angkasa seperti yang ditunjukkan pada Rajah 2.
.
Hanya lima planet iaitu Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari dan Zuhal termasuk Bulan dapat dilihat dengan mudah dengan mata kasar manakala Uranus dan Neptun perlu diperhatikan dengan alat bantu optik seperti binokular atau teleskop. Kenampakan objek tersebut amat bergantung kepada keadaan cuaca semasa. Fenomena tersebut dapat disaksikan sekitar awal pagi sebelum Matahari terbit sehingga pertengahan Julai 2022 di langit timur sekiranya cuaca adalah baik.
.
Pemerhati boleh menggunakan aplikasi astronomi seperti TheSky, SkySafari, Stellarium dan lain-lain untuk melakukan simulasi sendiri di lokasi masing-masing dan mendapatkan anggaran waktu fenomena tersebut berlaku.