Planet Zuhrah (Venus) merupakan planet kedua terdekat dengan Matahari selepas planet Utarid (Mercury) dan juga planet yang paling dekat dengan Bumi. Jarak purata Zuhrah dengan Matahari adalah 108.2 juta kilometer. Zuhrah juga dikenali sebagai “bintang kejora” oleh masyarakat Nusantara.
.
Zuhrah dianggap “kembar” kepada Bumi kerana saiz dan strukturnya yang hampir sama dengan Bumi. Zuhrah berputar sangat perlahan pada paksinya, iaitu satu hari di Zuhrah mengambil masa selama 243 hari Bumi. Planet ini mengorbit Matahari lebih laju berbanding Bumi, iaitu satu tahun di Zuhrah hanya mengambil masa kira-kira 225 hari di Bumi. Ia juga terkenal sebagai planet ‘rumah hijau’ kerana mempunyai kandungan karbon dioksida yang tinggi di dalam atmosferanya yang dapat memerangkap haba dengan sangat baik dan menyebabkan Zuhrah menjadi sebuah planet yang paling panas dalam Sistem Suria.
.
Keistimewaan Zuhrah ialah putaran atas paksinya dari timur ke barat, berbeza dengan Bumi dan planet-planet lain yang putaran paksinya dari barat ke timur. Hal ini bermakna, di Zuhrah, Matahari akan terbit dari arah barat dan terbenam di arah timur.
.
Sekitar awal Disember 2021, Zuhrah kelihatan sangat terang berbanding biasa pada arah barat selepas Matahari terbenam. Jika dicerap melalui teleskop, ia akan kelihatan seperti bulan sabit yang terang.
.
Zuhrah bersinar paling terang di langit dalam fasa sabitnya (𝘤𝘳𝘦𝘴𝘤𝘦𝘯𝘵 𝘱𝘩𝘢𝘴𝘦), iaitu apabila kira-kira 25% permukaannya yang menghadap Bumi disinari cahaya Matahari. Walaupun 50% permukaannya yang menghadap Bumi disinari cahaya Matahari ketika fasa separa (𝘩𝘢𝘭𝘧 𝘥𝘪𝘴𝘬), tahap pencahayaan terbesar Zuhrah berlaku ketika fasa sabit kerana ia lebih hampir dengan Bumi berbanding semasa fasa separa.
.
Oleh itu, bahagian yang disinari cahaya Matahari meliputi kawasan terbesar di langit Bumi semasa fasa sabit dan planet Zuhrah kelihatan paling terang di langit ketika fasa ini.