Fenomena Gerhana Matahari Separa Pada 1 Mei 2022


Fenomena Gerhana Matahari Separa akan berlaku pada 1 Mei 2022 mulai jam 02:45:13.2 dan berakhir pada 06:37:56.0 waktu Malaysia. Fenomena tersebut tidak dapat dilihat di Malaysia tetapi boleh dilihat di kebanyakan bahagian tenggara Lautan Pasifik dan bahagian selatan benua Amerika Selatan.
.
Fenomena Gerhana Matahari Separa ini berlaku pada 4.7 hari sebelum Bulan berada pada kedudukan apogee, iaitu titik orbit Bulan yang berada pada kedudukan terjauh dari Bumi dengan jarak 405,286km. Magnitud Gerhana Matahari Separa kali ini adalah 0.6396. Gerhana maksimum akan berlaku pada 1 Mei 2022 di Drake Passage yang berada di antara tanah besar Amerika Selatan dan Antartika apabila 54.18% permukaan Matahari diliputi oleh Bulan (eclipse obscuration).
.
Laluan Gerhana Matahari Separa (Lintasan Bayang Penumbra Bulan) ini akan bermula dari sebahagian Antartika ke bahagian selatan benua Amerika Selatan, melintasi sebahagian selatan Lautan Pasifik dan Lautan Atlantik.
.
Rakyat Malaysia tidak dapat menyaksikan fenomena gerhana ini kerana laluan bayang-bayang penumbra bulan tidak melalui mana-mana kawasan di Malaysia pada waktu tersebut.
.
𝗡𝗼𝘁𝗮 𝗸𝗮𝗸𝗶:
• Magnitud gerhana (Eclipse magnitude) adalah pecahan diameter sudut (angular diameter) Matahari yang diliputi oleh Bulan. Dinyatakan dalam peratus atau pecahan perpuluhan (contoh: 50% atau 0.50).
• Eclipse obscuration adalah pecahan kawasan Matahari yang diliputi oleh Bulan. Dinyatakan dalam peratus atau pecahan perpuluhan (contoh: 50% atau 0.50).
• Gerhana Matahari (Solar eclipse) berlaku apabila kedudukan bulan terletak di antara bumi dan matahari oleh itu menutup cahaya matahari sama ada separa atau sepenuhnya.
.
𝗦𝗨𝗠𝗕𝗘𝗥 𝗥𝗨𝗝𝗨𝗞𝗔𝗡:
.
Page updated on