Halo Matahari

Fenomena Halo adalah lingkaran cahaya seakan-akan pelangi yang mengelilingi sesuatu objek yang bercahaya, terutamanya Matahari dan Bulan ketika cuaca berawan. Ia merupakan sejenis fenomena optikal dan lebih kerap terjadi berbanding dengan kejadian pelangi. Kebanyakan Halo terjadi disebabkan oleh kristal ais dalam awan sirus (cirrus) yang sejuk yang terletak pada ketinggian 5 hingga 10 km di lapisan troposfera atas. Bentuk dan orientasi kristal-kristal ini menentukan bentuk halo yang terjadi.
Fenomena Halo Matahari ini telah dicerap di Observatori Negara Langkawi pada 10 Mac 2022 jam 1:40 petang apabila bayangan pelangi seakan-akan gegelung cincin dapat dilihat terbentuk di sekeliling Matahari. Fenomena optik ini berlaku disebabkan cahaya Matahari telah dibiaskan dan dipantulkan ketika melalui hablur ais berbentuk heksagon yang terdapat di dalam awan sirus dan menghasilkan suatu lingkaran cahaya yang mengelilingi Matahari. Bahagian dalam lingkaran berwarna merah manakala bahagian luar lingkaran pula berwarna biru atau ungu menurut urutan warna pelangi. Fenomena ini juga dikenali sebagai halo 22 darjah (22-degree halo) disebabkan saiz sudut (angular size) gegelung yang terbentuk adalah sekitar 22 darjah.
.
Nota Kaki
• 𝗙𝗲𝗻𝗼𝗺𝗲𝗻𝗮 𝗼𝗽𝘁𝗶𝗸 ialah fenomena yang disebabkan oleh interaksi cahaya dari Matahari atau Bulan dengan atmosfera, awan, air, habuk dan partikel lain.
• 𝗧𝗿𝗼𝗽𝗼𝘀𝗳𝗲𝗿𝗮 merupakan lapisan atmosfera yang hampir sekali dengan Bumi, yang terletak di antara 6 hingga 10 km.
• 𝗔𝘄𝗮𝗻 𝘀𝗶𝗿𝘂𝘀 (𝗰𝗶𝗿𝗿𝘂𝘀) adalah sejenis kumpulan awan tinggi (5-13 kilometer dari permukaan Bumi) yang terdiri sepenuhnya daripada ais dan kelihatan panjang dan nipis. Pembentukan awan ini juga boleh dikenali melalui bentuknya yang berjurai atau lebih dikenali sebagai “ekor kuda”. Awan sirus biasanya berwarna putih dan menandakan cuaca mungkin akan berubah dalam masa 24 jam.
• 𝗦𝗮𝗶𝘇 𝘀𝘂𝗱𝘂𝘁 ialah ukuran jarak antara objek cakerawala berdasarkan sudut dengan titik pemerhatian di Bumi. Jarak ini juga dikenali sebagai jarak sudut (angular distance) atau asingan sudut (angular separation). Jarak ini dinyatakan dalam bentuk darjah (°), minit arka (‘), dan minitsaat arka (“).
Page updated on