Zuhrah merupakan salah satu planet yang paling menarik untuk dicerap kerana peredarannya mengelilingi Matahari menyebabkan ia kelihatan mengalami fasa-fasa seperti Bulan. Planet Zuhrah boleh menjadi objek yang tercerah di langit selepas Matahari dan Bulan ketika ia berada paling hampir dengan Bumi semasa beredar di dalam orbitnya.
.
Planet Zuhrah (Venus) merupakan planet kedua terdekat dengan Matahari selepas planet Utarid (Mercury) dan juga planet yang paling dekat dengan Bumi. Jarak purata Zuhrah dengan Matahari adalah 108.2 juta kilometer. Zuhrah juga dikenali sebagai “bintang kejora”; juga sebagai “bintang timur” atau “bintang barat” oleh masyarakat Melayu kerana Zuhrah hanya dapat kelihatan seketika sebelum Matahari terbit (bintang timur) atau selepas Matahari terbenam (bintang barat). Kedudukan Zuhrah yang bedekatan dengan Matahari menyebabkan pergerakannya di langit juga sentiasa seiring dengan pergerakan Matahari.
.
Zuhrah dianggap “kembar” kepada Bumi kerana saiz dan strukturnya yang hampir sama dengan Bumi. Zuhrah berputar sangat perlahan pada paksinya, iaitu satu hari di Zuhrah mengambil masa selama 243 hari Bumi. Planet ini mengorbit Matahari lebih laju berbanding Bumi, iaitu satu tahun di Zuhrah hanya mengambil masa kira-kira 225 hari di Bumi. Ia juga terkenal sebagai planet ‘rumah hijau’ kerana mempunyai kandungan karbon dioksida yang tinggi di dalam atmosferanya yang dapat memerangkap haba dengan sangat baik dan menyebabkan Zuhrah menjadi sebuah planet yang paling panas dalam Sistem Suria.
.
Keistimewaan Zuhrah ialah putaran di atas paksinya adalah dari timur ke barat, berbeza dengan Bumi dan planet-planet lain yang berputar dari barat ke timur. Hal ini bermakna, di Zuhrah, Matahari akan terbit dari arah barat dan terbenam di arah timur.
𝗦𝘂𝗺𝗯𝗲𝗿 𝗥𝘂𝗷𝘂𝗸𝗮𝗻:
https://solarsystem.nasa.gov/planets/venus/overview/
https://earthsky.org/…/visible-planets-tonight-mars…/
.
.
#MYSA #MOSTI #ONL
#BekerjaBersamaRakyat
#KeluargaMalaysia