Mesyuarat Lembaga Angkasa Malaysia (MSB) Bil. 1/2025 yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), merangkap Pengerusi MSB di Putrajaya hari ini telah meluluskan beberapa inisiatif penting bagi memperkukuh tadbir urus dan kawal selia aktiviti angkasa negara.
Antara perkara utama termasuk penubuhan Jawatankuasa Kerja Penilaian Regulatori Aktiviti Angkasa (JKRAA), Jawatankuasa Siasatan Kemalangan Aktiviti Angkasa (JASKA), pelaksanaan Garis Panduan Siasatan Kemalangan Objek Angkasa, pembentangan Laporan Akhir Siasatan Penemuan Objek Angkasa 2022-2024 serta perancangan Pertandingan Moot Perundangan Angkasa 2025.
Langkah ini selaras dengan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834), aspirasi Malaysia MADANI serta hala tuju Dasar Angkasa Negara 2030 yang menekankan keselamatan, kelestarian dan daya saing negara dalam sektor angkasa.
Turut hadir, YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBrs. Encik Mhd. Fairos Bin Asillam, Bahagian Penguasa Angkasa, Setiausaha Eksekutif, Lembaga Angkasa Malaysia, YDH Komisioner Polis (CP) Dato’ Haji Baharuddin Bin Haji Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Keselamatan Strategik), Majlis Keselamatan Negara, YBrs. Encik Mano Verabathran, anggota tetap Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur telekomunikasi), Kementerian Komunikasi, ahli-ahli anggota tetap/ganti MSB dan wakil daripada Keselamatan Pelbagai Hala, Kementerian Luar Negeri.