“Etika yang kuat akan mencetuskan kepercayaan dan kepercayaan akan membuka ruang untuk inovasi, keberanian membuat perubahan dan keyakinan dalam berkhidmat”
.
YBhg. Dato’ Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah merasmikan Seminar Kesedaran Etika Auditor dan Auditee pada 13 Jun 2025 di Dewan Seminar MYSA. Beliau menekankan nilai integriti dan profesionalisme perlu menjadi teras kepada seluruh operasi dan budaya kerja warga MYSA. Sebagai sebuah agensi strategik negara, MYSA mendukung amanah besar dalam pembangunan sektor angkasa negara. Justeru, audit merupakan satu instrumen kawalan kendiri yang amat penting, bagi memastikan setiap urusan dan keputusan organisasi berpaksikan kepada peraturan, etika dan nilai moral yang tinggi.
.
Seminar mencerminkan komitmen MYSA dalam tadbir urus yang baik (good governance) dan pematuhan kepada sistem pengurusan kualiti dan keselamatan maklumat seperti International Organization for Standardization (ISO) dan Information Security Management System (ISMS).

Membina kefahaman yang jelas tentang prinsip etika profesional sebagai nilai teras keperibadian warga kerja yang amanah dan bertanggungjawab.

Membina pemahaman yang seimbang – Menjelaskan fungsi, tanggungjawab dan hak masing-masing antara pihak auditor dan auditee., supaya kedua-dua pihak boleh bekerjasama secara produktif dan berhemah.

Menanamkan budaya kepercayaan, ketelusan dan penghormatan dalam proses kerja audit sebagai ruang pembelajaran dan penambahbaikan.
.
Penceramah jemputan, Ts. Azwarie bin Ahmad @ Mohd Yusof daripada SIRIM Academy, tokoh berpengalaman dalam bidang audit dan tadbir urus, berkongsi mengenai topik: Pengenalan dan Asas Proses Audit; Etika Auditor dan Auditee dan mengemudi aktiviti lakonan peranan antara auditor dan auditee.
.
Selari dengan prinsip Malaysia MADANI, program mengangkat semangat pemantapan nilai integriti dan akauntabiliti dalam sektor perkhidmatan awam.