PROGRAM CERAPAN GERHANA BULAN PENUH DI MAHA TOWER, LANGKAWI PADA 7-8 SEPTEMBER 2025
Terima kasih kepada semua yang hadir ke Program Cerapan Gerhana Bulan Penuh yang telah berlangsung di Maha Tower, Langkawi pada 7 – 8 September 2025. Program bukan sekadar perhimpunan melihat fenomena langit, tetapi juga pengalaman ilmu yang sangat bermakna .
Para pengunjung berpeluang menyaksikan sendiri detik Gerhana Bulan Penuh dan diserikan lagi dengan cerapan bintang di buruj Aquarius serta planet Zuhal yang kelihatan jelas di langit malam. Walaupun keadaan langit agak berawan dan mendung semasa permulaan fasa gerhana, namun pengunjung dapat melihat keseluruhan fasa gerhana penuh hingga ianya berakhir.
Perkongsian ilmu astronomi oleh Encik Mahruzaman Misran daripada Persatuan Peminat Ilmu Falak Perak dengan topik Gerhana Bulan – memberi pencerahan mengenai fenomena gerhana bulan daripada kitab falak.
Solat Sunat Gerhana Bulan dipimpin oleh Ustaz Nasri Mat, Imam Masjid Nurussa’adah, Kariah Kilim dan bacaan khutbah gerhana oleh Ustaz Muhammad Farhan Noordin, Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Hana, Kariah Kuah.