Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah berlangsung pada 2 Oktober 2025 di Model Ladang Buluh, Kuala Berang, Terengganu, sempena sambutan World Bamboo Day 2025.
.
Majlis pertukaran MoU disempurnakan oleh YBrs. Tuan Saiful Bahari bin Salleh, Ketua Pengarah MTIB dan YBrs. Encik Samsuddin bin Omar, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan & Pembangunan) MYSA, disaksikan oleh YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.
.

Melalui kerjasama ini, MYSA membangunkan Sistem Program Pembangunan Ladang Hutan (e-PPLH) berteraskan teknologi angkasa.

Sistem ini berfungsi sebagai pangkalan data yang merekod, menyimpan dan menyediakan maklumat bersepadu termasuk imej satelit beresolusi tinggi dan terkini.

MTIB akan memanfaatkan sistem ini bagi menyokong perancangan, pengurusan, pemantauan serta penguatkuasaan ladang hutan di bawah PPLH dengan lebih cekap.
.

MYSA komited menyusun strategi pembangunan sektor angkasa negara termasuklah mengoptimumkan penggunaan teknologi angkasa bagi tujuan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan Kerajaan.