Program Komuniti MADANI Nelayan Digital yang berlangsung pada 7 Ogos 2025 di Dewan Serbaguna, Penempatan Semula Nelayan Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan telah menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara MYSA dengan DOF, LKIM, dan NEKMAT untuk Projek Sistem Penentuan Lokasi Penangkapan Ikan atau Fish Site Identification System (FSI).
.
Pembaharuan kerjasama ini merupakan kesinambungan daripada kerjasama strategik yang telah bermula sejak tahun 2007. Sistem FSI telah mula beroperasi pada tahun 2011 dan telah ditambah baik dengan beberapa penambahan modul baharu seperti modul penentuan lokasi tangkapan ikan Tuna (Modul PFZ Tuna) dan modul penentuan lokasi tangkapan ikan pesisir pantai (Modul PFZ Pesisir).
.
Pertukaran dokumen kerjasama ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datoβ Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah MYSA; YBrs. Encik Hamdan bin Mamat; Ketua Pengarah LKIM; YBrs. Encik Ruzaidi bin Mamat, Pengarah Kanan, Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan yang mewakili Ketua Pengarah DOF; dan YBrs. Tuan Haji Abdul Hamid bin Bahari, Pengerusi NEKMAT; disaksikan oleh YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), MOSTI.
.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen semua agensi untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat melalui pemerkasaan penggunaan teknologi angkasa bagi pengurusan sumber perikanan yang lebih lestari dan berdaya tahan.
.
Pengoperasian dan penggunaan sistem FSI dilihat dapat memberi limpahan manfaat ekonomi kepada nelayan melalui penjimatan kos operasi, peningkatan hasil tangkapan ikan sebanyak 30% hingga 50%, dan pengoptimuman masa menangkap ikan. Sehingga kini, sistem FSI telah digunakan oleh 1,257 vesel pukat jerut dan 751 vesel pukat hanyut yang mana telah memberi manfaat kepada 30,161 nelayan di seluruh negara.
Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) untuk Kesejahteraan Rakyat.