MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

PERHIMPUNAN BULANAN MYSA BAGI BULAN JANUARI 2025
Majlis Perhimpunan Bulanan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) Januari 2025 telah berlangsung di Dewan Seminar MYSA, Ibu Pejabat MYSA Kuala Lumpur pada 3 Januari 2025. Pada perhimpunan kali ini, MYSA turut bersama-sama dengan seluruh warga perkhidmatan awam menyaksikan secara langsung ucapan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara dan diikuti dengan Amanat Tahun Baharu 2025 oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri. YAB Perdana Menteri telah menyentuh kepada tiga (3) elemen utama iaitu kesyukuran, keupayaan meningkatkan prestasi dan pelaksanaan kaedah terbaik untuk memperbaiki prestasi perkhidmatan awam.
.
Perhimpunan MYSA kemudian diteruskan dengan amanat oleh YBhg. Dato’ Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah MYSA. Beliau menyambut perkara yang disentuh oleh YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara dan YAB Perdana Menteri untuk warga MYSA melakukan lonjakan prestasi, hasil dan impak seiring dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
.
Ini menuntut sikap yang tepat dalam setiap diri warga MYSA untuk berterusan menambah ilmu pengetahuan, merebut ruang dan peluang meningkatkan kompetensi dan pengalaman kerana kecemerlangan memerlukan tempoh, tidak datang dalam jangka masa yang singkat. Beliau juga mengingatkan setinggi mana pun pencapaian perlu datang bersama dengan adab.
.
Selain itu, sebagai sebuah agensi yang berperanan menerajui penyelidikan dan pembangunan teknologi angkasa negara, beliau menyeru untuk warga MYSA fokus dalam melaksanakan program/inisiatif yang telah dirancang untuk tahun 2025 di bawah Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030 atau Malaysia Space Exploration 2030 (MSE2030) iaitu:
● Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN);
● 5 produk inovatif baharu berteraskan teknologi angkasa;
● Pembangunan kemudahan pelancaran angkasa lepas;
● Pembangunan satelit cubesat 3U buatan tempatan; dan
● Pembangunan modul peta risiko denggi SPWD.
.
Terdapat tiga (3) eleman perlu diambil kira dalam perancangan MYSA untuk membangunkan ekosistem sektor angkasa negara iaitu:
● Sumber ekonomi baru
● Keseluruhan ekosistem
● Keselamatan negara – data strategik
Majlis diakhiri dengan penyampaian surat kenaikan pangkat, sijil penyertaan kursus dan hadiah bagi pemenang Kuiz Integriti MYSA 2024.
.
Selamat Tahun Baharu 2025! Semoga tahun ini menjadi tahun kejayaan dan kecemerlangan untuk semua warga MYSA dan kita terus maju dalam merealisasikan matlamat Dasar Angkasa Negara 2030.
Skip to content