Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834] telah diwartakan pada 25 Januari 2022 untuk mengawal selia aktiviti berkaitan angkasa bagi tujuan keselamatan, mengawal selia pendaftaran objek angkasa dan mengadakan peruntukan bagi kesalahan berkaitan aktiviti angkasa.
Akta ini juga akan memastikan aktiviti angkasa negara dilaksanakan secara bertanggungjawab, selamat dan terjamin serta mematuhi segala peraturan dan piawaian yang dipersetujui di peringkat antarabangsa terutamanya melalui United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA). Pada masa yang sama, akta ini dapat melengkapkan ekosistem pembangunan teknologi angkasa negara ke tahap yang lebih tinggi.
Sebagai permulaan, bagi memastikan Akta ini dapat dilaksanakan dengan efektif dan berkesan, Lembaga Angkasa Malaysia (Interim) akan ditubuhkan pada bulan Ogos 2022. Lembaga ini akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Datuk Zainal Abidin bin Abu Hassan, dengan ahli-ahli daripada Kementerian dan Agensi yang berkaitan.