MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

PENGGUNAAN TEKNOLOGI ANGKASA DALAM APLIKASI SISTEM LITUPAN MUKABUMI PENDERIAAN ANGKASA SARAWAK (LIMPAS) TERUS DIPERKASA
.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Tanah dan Survei Sarawak(JTSS) dalam satu Majlis Makan Malam sempena Landas Summit 2023 di Borneo Convention Centre Kuching, Sarawak pada 3 Februari 2023. MoU dan kerjasama selama 5 tahun ini merupakan kali ke 3 sejak kerjasama di antara kedua pihak dimeterai pada tahun 2009. Kesinambungan kerjasama teknikal ini melibatkan penggunaan teknologi remote sensing angkasa bagi meningkatkan perkhidmatan dan kecekapan operasi JTSS dalam menjalankan pemetaan litupan tanah di seluruh negeri Sarawak secara berterusan melalui penggunaan Sistem Litupan Mukabumi Penderiaan Angkasa Sarawak (LIMPAS) yang telah dibangunkan dan dioperasikan secara dalam talian sejak tahun 2011.
.
Melalui kerjasama strategik ini, penggunaan Sistem LIMPAS telah mampu meningkatkan produktiviti dan mempercepatkan proses perancangan sehingga 50 peratus berbanding kaedah biasa, khususnya dalam aktiviti perancangan kerja ukur tanah di bawah Program Penyukatan Tanah NCR Sarawak. Pembangunan dan pengoperasian Sistem LIMPAS ini juga adalah selaras dengan sasaran Teras 2 Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN 2030), yang sedang dilaksanakan oleh MOSTI melalui MYSA iaitu menumpukan kepada pembangunan teknologi, infrastruktur serta aplikasi angkasa yang signifikan kepada negara. Usaha ini turut menumpukan kepada keperluan mewujudkan transformasi sosioekonomi yang berteraskan saintifik dan inklusif yang menepati nilai-nilai kemampanan, kesejahteraaan serta daya cipta dalam kerangka Malaysia Madani. Kerjasama strategik di antara kedua pihak ini juga merupakan antara inisiatif yang turut mendukung aspirasi pelaksanaan MA63 negara.
.
Pada majlis berkenaan, YBrs. Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah MYSA dan Pengarah JTSS Datu Abdullah Julaihi telah menyempurnakan upacara menandatangani dokumen MoU dan turut disaksikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
.
Skip to content