MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

Adakah Malaysia terkesan atau tidak dengan insiden yang mungkin berlaku akibat Rocket Long March 5B yang didakwa hilang kawalan dan bakal terhempas ke bumi hujung minggu ini?

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) ingin memaklumkan bahawa ramalan terkini bahawa ‘re-entry’ roket Long March 5B milik negara China akan jatuh ke bumi adalah pada 7 Mei 2021, 09:02:00 sehingga 9 Mei 2021 13:02:00 waktu Malaysia. Status terkini bagi roket tersebut adalah seperti berikut:

Ramalan daripada Aerospace Corp pada hari Ahad 9 Mei 2021, jam 7.00 pagi:
Roket re-entry dijangka antara 9.02am hingga 1.02pm waktu Malaysia.
Dijangka serpihan tersebut tidak akan jatuh di kawasan Malaysia.

status long march 5b
Ramalan laluan ground track roket tersebut daripada 9.02am hingga 1.02pm (9 Mei 2021)

Roket Long March 5B telah dilancarkan pada 29 April 2021 untuk menghantar modul teras (core module) stesen angkasa China yang dinamakan Tianhe dan seberat 22,600kg ke orbit pengoperasiannya di angkasa. Walau bagaimanapun, peringkat teras (core stage) roket Long March 5B telah mencapai ketinggian yang cukup tinggi untuk mengorbit bumi selepas penghantaran modul Tianhe. Orbit sisa roket ini merupakan orbit jenis elips dengan ketinggian paling dekat 170km dan ketinggian paling jauh 372km daripada paras laut muka bumi. Disebabkan seretan atmosfera (atmospheric drag) yang kuat pada orbit ini, sisa roket ini dijangka akan re-entry ke muka bumi dalam beberapa hari selepas penghantaran tersebut.

Untuk makluman, lokasi re-entry sebenar sisa roket ini tidak dapat diramal dengan tepat (pinpoint) sehingga beberapa jam sebelum re-entry berlaku. Berdasarkan kepada prinsip saintifik, kebiasaannya akan terdapat unsur–unsur ketidakpastian yang berkaitan bagi sebarang pengukuran atau ramalan yang dihasilkan. Dalam kebanyakan kes re-entry ke ruang atmosfera, ketidakpastian yang berkaitan bagi ramalan lokasi re-entry adalah sangat besar disebabkan perubahan kadar ketumpatan lapisan atas atmosfera, sifat fizikal objek re-entry seperti jisim dan komposisi bahan, serta lokasi dan kelajuan objek tersebut.

Setiap pelancaran roket kebiasaannya akan meninggalkan serpihan (debris). Saiz serpihan tersebut bergantung kepada saiz roket yang dilancarkan. Memandangkan saiz roket Long March 5B agak besar, maka serpihan yang berkemungkinan akan terhempas ke bumi juga adalah besar. Walau bagaimanapun, sebahagian besar serpihan tersebut akan musnah terbakar di atmosfera dan berkecai menjadi serpihan-serpihan kecil. Hanya serpihan yang tidak terbakar sepenuhnya sahaja yang akan jatuh ke bumi.

Orang ramai tidak perlu terlalu bimbang terhadap bahaya objek re-entry ini kerana keberangkalian objek ini untuk menimpa manusia atau merosakkan mana-mana struktur bangunan adalah sangat rendah memandangkan 70% daripada muka bumi adalah terdiri daripada air dan keluasan kawasan Malaysia adalah kecil berbanding dengan keluasan muka bumi. Tambahan pula, lokasi sebenar re-entry ini masih tidak dapat diramal dengan tepat pada masa kini dan pihak MYSA akan memaklumkan perkembangan peristiwa  re-entry ini dari semasa ke semasa.

Sehubungan dengan itu, orang ramai adalah dinasihatkan agar mengambil langkah-langkah berikut sekiranya mengesyaki atau melihat kejadian re-entry tersebut:

  • TIDAK menyentuh atau mengambil sebarang objek yang mencurigakan yang disyaki daripada kejadian re-entry
  • HUBUNGI talian kecemasan ‘999’ dan buat laporan sewajarnya (laporkan pemerhatian, saksi, lokasi dan masa). Adalah lebih baik sekiranya rakaman video dapat dibuat pada ketika kejadian bagi membantu penyiasatan kelak.
  • JANGAN buat sebarang hebahan dan sebarkan sebarang maklumat palsu yang berkaitan re-entry Sebarang maklumat rasmi yang telah disahkan hanya akan dihebahkan melalui media massa oleh pihak berkuasa sahaja.

Maklumat tambahan:

  1. Adakah ini objek yang terbesar untuk re-entry ke ruang atmosfera bumi?

Tidak. Objek re-entry terbesar yang pernah dilaporkan ialah stesen angkasa Mir milik negara Rusia dengan muatan 120,000 kg pada 23 Mac 2001. Sebagai perbandingan, berat sisa roket ini dijangka dalam 21,000 kg dan hanya 1/5 daripada berat stesen angkasa Mir.

  1. Adakah terdapat bahagian sisa roket yang akan selamat daripada proses re-entry?

Kemungkinan besar hanya sebahagian kecil daripada sisa roket yang akan selamat melepasi atmosfera dan mendarat ke bumi semasa proses re-entry. Untuk keselamatan anda, dilarang menyentuh apa-apa serpihan yang mungkin anda perolehi atau menyedut wap yang boleh dikeluarkan dari serpihan tersebut. Hubungi Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) di talian 03-26972570 dan laporkan lokasi dan waktu penglihatan anda, keterangan mengenai apa yang anda lihat, dan sediakan sebarang imej atau video yang mungkin telah anda rakamkan sebagai bahan rujukan untuk pihak kami.

Skip to content