MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

Satelit Astronomi MARS Express (MEX)

INFOGRAFIK19

Planet Marikh adalah planet keempat dalam sistem suria dan ia merupakan planet batuan sama seperti Bumi. Marikh yang dikenali sebagai planet merah selalu menjadi sumber dan daya tarikan untuk diteroka kerana ia satu-satunya planet yang berkemungkinan besar mempunyai bukti kehidupan dan kewujudan organisma. Marikh juga paling mudah diakses dan menjadi pilihan utama untuk penerokaan manusia akan datang.

Mars Express (MEX) merupakan misi pertama penerokaan planet dalam sistem suria oleh Agensi Angkasa Eropah (ESA) iaitu penjelajahan ke Marikh. Ia dinamakan “Express” kerana tempoh rekabentuk dan pembinaan kapal angkasa yang pendek berbanding misi-misi planet sebelumnya. MEX dilancarkan menggunakan roket Soyuz-FG/Fregat di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada 2 Jun 2003 dan memasuki orbit Marikh pada 25 Disember 2003. Ia dilancarkan semasa fenomena oposisi Marikh iaitu kedudukan Matahari, Bumi dan Marikh dalam satu garis lurus. Pada masa itu, perjalanan menjadi paling singkat kerana kedudukan Bumi berada paling hampir dengan Marikh.

MEX terdiri daripada 2 bahagian iaitu pengorbit MEX dan Beagle 2. Beagle 2 ialah pendarat yang dirancang untuk melakukan penyelidikan komposisi geologi, mineral dan kimia di lokasi pendaratan, disamping mencari bukti kehidupan, mengkaji cuaca dan iklim Marikh. Walaupun Beagle 2 gagal digunakan sepenuhnya setelah mendarat di permukaan Marikh, tetapi pengorbit MEX telah berjaya melakukan pengukuran saintifik sejak awal 2004 iaitu pengimejan beresolusi tinggi dan pemetaan mineralogi permukaan, pembunyian radar pada struktur bawah permukaan ke ibun abadi (permafrost), penentuan peredaran dan komposisi atmosfera yang tepat dan kajian mengenai interaksi atmosfera dengan medium antara planet.

Fungsi MEX adalah untuk mengkaji atmosfera, iklim, struktur planet, sifat mineralogi dan geologi Marikh serta mencari kesan kehadiran air di Marikh.

Sila layari info lanjut mengenai MEX di:

🛰️https://sci.esa.int/web/mars-express
🛰️ https://mars.nasa.gov/mars-exploration/missions/express/

#MYSA #MOSTI #STI #PKPB
#KeajaibanSains #MagicOfScience #ScienceForLife #SatellitesImproveLife #KitaJagaKita #KitalahFrontliner #BersamaHentikanWabakCovid19

 
Skip to content