Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 19 Disember 2024 bertempat di Ibu Pejabat, MPOB, Bangi, Selangor yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah MYSA dan YBhg. Datuk Dr. Ahmad Parveez bin Hj. Ghulam Kadir, Ketua Pengarah MPOB.
.
Pemeteraian MoU hari ini mengukuhkan lagi kerjasama kedua-dua pihak bagi memanfaatkan sepenuhnya kelebihan teknologi angkasa yang meliputi teknologi penderiaan jauh (remote sensing); Sistem Maklumat Geografi [Geographical Information System (GIS)] dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi [Information and Communication Technology (ICT)].
.
Penerimagunaan teknologi angkasa dalam sektor agrikomoditi dilihat sejajar dengan perkembangan global yang mana teknologi ini merupakan alat penting yang dapat meningkatkan keberkesanan operasi dan kelestarian sumber.
.
Tumpuan kerjasama adalah bagi pembangunan sistem aplikasi berteraskan teknologi angkasa bagi perancangan, pengurusan dan pemantauan aktiviti penanaman sawit. Penggunaan sistem aplikasi ini dijangka akan meningkatkan kecekapan dalam membuat keputusan berasaskan output yang dihasilkan menerusi pemprosesan dan analisis digital imej satelit di kawasan penanaman sawit seluruh negara.
.
Skop kerjasama turut meliputi pelaksanaan program latihan dan pemindahan teknologi yang akan dapat meningkatkan kompetensi pegawai kedua-dua agensi.
.
Jalinan kerjasama strategik ini seiring dengan komitmen MYSA dalam menerajui pelaksanaan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) serta selaras dengan matlamat Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang diterajui oleh MOSTI.