MAJLIS MENANDATANGANI DOKUMEN PROJEK KERJASAMA PENGURUSAN SUMBER AIR BERTERASKAN TEKNOLOGI ANGKASA ANTARA MYSA DAN JPS PADA 29 FEBRUARI 2024
Alhamdulillah. 29 Februari 2024, hari yang penuh bermakna dan bersejarah untuk kedua-dua pihak di Majlis Menandatangani Dokumen Projek Kerjasama Pengurusan Sumber Air Berteraskan Teknologi Angkasa di antara Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia (JPS) dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang berlangsung di Kompleks Tun Razak (KOMTUR), Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.
.
Pemeteraian kerjasama ini telah disempurnakan oleh YBrs. Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah MYSA dan YBhg. Mejar Kehormat (K) Dato’ Ir. Dr. Haji Ahmad Anuar bin Othman, Ketua Pengarah JPS. Usaha MYSA ini adalah selaras dengan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) dalam membangunkan dan mengoperasi sistem aplikasi dan pangkalan data yang berteraskan teknologi angkasa.
.
Kerjasama strategik ini akan dapat membantu tadbir urus JPS untuk memudahkan dan memantapkan perancangan, pengurusan dan pemantauan berkala bagi empangan, lembangan sungai, banjir, zon pantai dan pengairan pertanian menerusi penggunaan teknologi angkasa.
.
Kepakaran dalaman penyelidik MYSA boleh membantu pengoperasian JPS dalam memberi perkhidmatan dengan lebih berkesan melalui amalan kejuruteraan terbaik yang turut mengambil kira kelestarian alam sekitar, sosial dan impak ekonomi.
.