MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

MAJLIS MENANDATANGANI DOKUMEN KERJASAMA DENGAN JABATAN PENILAIAN DAN PERKHIDMATAN HARTA (JPPH) PADA 7 FEBRUARI 2025
Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menandatangani dokumen kerjasama dengan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dalam usaha inovasi revolusi penilaian hartanah yang lebih dinamik berasaskan data saintifik menerusi penggunaan teknologi angkasa.
.
Dokumen kerjasama ini ditandatangani oleh YBhg. Dato’ Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah MYSA dan YBrs. Sr. Abdul Razak bin Yusak, Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, JPPH pada 7 Februari 2025 bertempat di Ibu Pejabat MYSA, Kuala Lumpur.
.
Majlis ini menandakan satu lagi pencapaian penting dan bermakna serta memperkukuhkan lagi kerjasama antara kedua – dua organisasi yang telah terjalin sejak tahun 2013 sehingga kini. Melalui kerjasama strategik ini, Sistem e-Nilaian Harta Tanah yang berteraskan teknologi angkasa telah dibangunkan oleh MYSA bagi menyokong perkhidmatan JPPH dalam aktiviti penilaian dan perkhidmatan harta, aktiviti informasi harta tanah dan penyelidikan.
.
Sistem ini membolehkan pemetaan dan pemantauan hartanah secara lebih cekap, tepat dan menyeluruh. Menerusi analisis data satelit, proses penilaian dapat dijalankan dengan lebih pantas – mengurangkan kebergantungan kepada kaedah tradisional yang memerlukan pemeriksaan fizikal, meramalkan trend pasaran hartanah dan mengenal pasti perubahan dalam corak pembangunan bandar.
.
Penerimagunaan teknologi angkasa dalam sektor penilaian harta tanah sejajar dengan perkembangan global yang merupakan alat penting untuk meningkatkan keberkesanan kerja-kerja penilaian.
.
Hadir sama, Encik Samsuddin bin Omar, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan) MYSA; Sr. Hj Mohd Nazri bin Ahmad Zahari, Timbalan Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Dasar Strategik) JPPH; dan Sr. Basarudin bin Mohd Basir, Timbalan Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Operasi) JPPH.
Skip to content