MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

MINGGU ANGKASA SEDUNIA 2022: TEKNOLOGI ANGKASA BERI BANYAK MANFAAT KEPADA KELUARGA MALAYSIA
 
Malaysia telah menerima pengiktirafan daripada pihak United Nations Office for Outer Space (UNOOSA) sebagai antara negara contoh dalam pembangunan perundangan angkasa di rantau Asia Tenggara lanjutan daripada pewujudan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834].
 
Akta 834 telah dikuatkuasakan pada 4 Ogos 2022 dan lanjutan daripada pewujudan Akta ini, maka Lembaga Angkasa Malaysia telah ditubuhkan bagi mengawal selia aktiviti berkaitan angkasa bagi tujuan keselamatan, mengawal selia pendaftaran objek angkasa dan mengadakan peruntukan bagi kesalahan berkaitan angkasa yang tertentu dan perkara yang berkaitan.
 
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba berkata, “Bagi melaksanakan penguatkuasaan Akta 834 dan bertindak sebagai Setiausaha Eksekutif kepada Lembaga Angkasa Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menubuhkan Bahagian Penguasa Angkasa (BPA) pada bulan Julai 2022.”
 
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis perasmian sambutan Minggu Angkasa Sedunia atau World Space Week yang ke-22 bertemakan ‘Space and Sustainability’ atau ‘Kelestarian Angkasa’ hari ini.
 
Tidak dinafikan, teknologi angkasa juga telah memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia dalam pelbagai aspek kehidupan, antaranya:
 
✅ MYSA telah membangun dan mengoperasikan 48 sistem aplikasi yang dimanfaatkan oleh lebih 80 agensi pengguna dalam pelbagai bidang seperti pertanian, perikanan, perhutanan, sumber asli dan alam sekitar serta pemantauan tanah.
 
✅ Sektor pertanian – teknologi angkasa telah dimanfaatkan oleh 37,916 pesawah padi seluruh negara, dan meningkatkan 57 peratus kecekapan memantau tanaman padi serta meningkatkan kecekapan pengurusan subsidi baja dan racun kerajaan sehingga 30 peratus
 
✅ Sektor perikanan – teknologi angkasa ini telah meningkatkan hasil tangkapan nelayan sebanyak 30 hingga 50 peratus yang memberi manfaat kepada kira-kira 30 ribu nelayan seluruh negara
 
✅ Teknologi angkasa khususnya satelit remote sensing digunakan untuk mencerap imej dan maklumat muka bumi terkini yang penting untuk membantu pengurusan bencana terutamanya semasa musim tengkujuh
 
Sempena Minggu Angkasa Sedunia, MOSTI melalui Planetarium Negara telah merangka program-program menarik untuk pelbagai lapisan masyarakat bermula 4 hingga 10 Oktober 2022. Pelancaran Minggu Angkasa Sedunia pada kali ini menjadi lebih signifikan apabila pada masa yang sama, sambutan Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 bagi bulan Oktober turut bertemakan ‘Angkasa’.
 
Antara program yang dijalankan adalah Pertandingan Video Pendek Kelestarian Angkasa anjuran bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Siri Webinar Bicara Planetarium, dan Pameran Maya Kesatria Angkasa. Penglibatan jaringan kerjasama rakan strategik Planetarium Negara turut menyumbang kepada pengisian program tersebut agar berupaya untuk menembusi pelbagai kumpulan sasar secara kreatif dan interaktif melalui medium penyampaian terkini.
 
Hadir sama YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBrs. Ts. Dr. K. Nagulendran, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan STI) dan Encik Mohd Zamri Shah Mastor, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Planetarium Negara.
 
Skip to content