MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

PERANCANGAN STRATEGIK SEKTOR ANGKASA NEGARA KE ARAH PERTUMBUHAN INDUSTRI ANGKASA MALAYSIA YANG BERUPAYA MENYUMBANG SEHINGGA RM10 BILION KEPADA KDNK
 
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Angkasa Kebangsaan (JANGKA) Bil. 1/2023 yang merupakan mekanisme penting dalam mengkoordinasi semua aktiviti berkaitan angkasa di Malaysia yang dihadiri oleh wakil-wakil daripada kementerian, jabatan dan agensi berkaitan yang terlibat dalam pelaksanaan Dasar Angkasa Negara (DAN) 2030.
 
Objektif utama JANGKA adalah bagi memastikan pembangunan sektor angkasa dapat dilaksanakan dengan terancang dan lebih berkesan serta memberi pulangan besar kepada negara dalam aspek penjanaan ilmu baharu, penerokaan saintifik, penjanaan kekayaan, kesejahteraan masyarakat, dan keselamatan serta kedaulatan negara. Antara perancangan strategik sektor angkasa yang direncanakan ke arah pertumbuhan industri angkasa negara adalah seperti berikut:
 
i. PELAN TINDAKAN DASAR ANGKASA NEGARA 2030: MALAYSIA SPACE EXPLORATION 2030
Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030 atau dikenali sebagai Malaysia Space Exploration 2030 (MSE2030) menggariskan 15 strategi, 27 inisiatif serta 79 aktiviti utama yang dirancang sehingga tahun 2030 dan bakal dilancarkan semasa Pameran Aeroangkasa Dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23). Pelaksanaan MSE2030 ini juga diharap dapat dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi baharu negara, dan sektor angkasa dijangka mampu menyumbang sehingga 1% atau RM10 bilion kepada KDNK negara menjelang tahun 2030.
 
ii. PELAN STRATEGIK INDUSTRI ANGKASA 2030
Pelan Strategik ini merupakan hasil Kajian Industri Angkasa Tempatan yang telah selesai dilaksanakan pada Ogos 2022, di mana sebanyak 63 syarikat tempatan telah dikenal pasti terlibat dalam pembangunan industri angkasa tempatan dan dijangka akan dilancarkan semasa pameran LIMA’23. Melalui kajian ini, satu Pelan Strategik Industri Angkasa 2030 telah dibangunkan dengan 12 strategi dan 24 inisiatif. Antaranya, cadangan pelancaran satelit remote sensing negara beresolusi tinggi pada penghujung 2025 dan kerangka inisiatif mewujudkan perkhidmatan tapak pelancar satelit tempatan.
 
iii. AKTA LEMBAGA ANGKASA MALAYSIA 2022 [AKTA 834]
Akta 834 telah diwartakan pada 25 Januari 2022 bertujuan untuk mengawal selia aktiviti berkaitan angkasa bagi tujuan keselamatan dan pendaftaran objek angkasa. Akta ini juga akan memastikan aktiviti-aktiviti angkasa negara dilaksanakan secara bertanggungjawab dan selamat (spaceworthiness) serta mematuhi peraturan dan piawaian yang dipersetujui di peringkat antarabangsa. Selain itu, Akta 834 ini dapat meningkatkan keyakinan pelabur dan industri untuk terlibat dalam aktiviti angkasa negara melalui pewujudan kawal selia yang cekap selaras dengan garis panduan dan standard antarabangsa.
 
iv. PENGLIBATAN MOSTI MELALUI MYSA DALAM LIMA’23 SEBAGAI PENERAJU SPACE TECH NEXUS
Space Tech Nexus merupakan elemen baharu dalam penganjuran pameran dwi tahunan LIMA. Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) selaku penganjur LIMA’23 telah memberikan mandat kepada MOSTI melalui MYSA untuk menerajui Space Tech Nexus pada pameran LIMA’23 kali ini. Space Tech Nexus akan berlangsung dari 23 hingga 27 Mei 2023 merangkumi Langkawi International Space Forum (LISF) 2023, pemeteraian MoU, bilateral talk, pameran komersial, technology updates, side events dan lawatan teknikal. Penglibatan MOSTI sebagai peneraju Space Tech Nexus dijangka mengukuhkan lagi jaringan kerjasama strategik sektor angkasa di antara Malaysia dengan pelbagai pihak khususnya dalam aspek pembangunan kapasiti, kepakaran, peluang kerjasama teknikal dan komersial dan memudahcara pelaburan industri angkasa bagi merancakkan pertumbuhan industri pemula tempatan.
Skip to content