MESYUARAT JAWATANKUASA PEMANDU PROJEK KERJASAMA NAHRIM-MYSA BIL. 1/2022

30 Jun 2022 – Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu (JKP) Projek Kerjasama antara Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM), Kementerian Air dan Sumber Asli (KASA) dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Bi. 1/2022 telah diadakan di Kompleks Teknologi Angkasa (KTA), MYSA Banting, Selangor. Mesyuarat ini dipengerusikan bersama oleh YBhg. Dato’ Ir. Nor Hisham bin Mohd Ghazali, Ketua Pengarah NAHRIM dan YBrs. Tuan Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah MYSA.
.
Tujuan utama mesyuarat diadakan adalah bagi membincangkan secara terperinci cadangan dan matlamat projek yang akan dilaksanakan oleh kedua-dua agensi. Di bawah kerjasama ini, kedua-dua agensi berkongsi kepakaran dalam melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan inovasi berteraskan teknologi remote sensing dan teknologi berkaitan seperti Geographical Information System (GIS), Sistem Penentududukan Global (GPS) dan Information and Communications Technology (ICT) bagi bidang hidro persekitaran. Antara lain, penggunaan teknologi berkenaan adalah bagi meningkatkan ketepatan data, analisis dan permodelan berkaitan hidro persekitaran untuk pengurusan sumber, persekitaran dan fenomena yang berkaitan dengan air yang lebih sistematik, cekap dan berkesan.
.
Semasa mesyuarat ini juga telah diadakan sesi menandatangani Dokumen Projek bagi kerjasama yang telah dipersetujui antara kedua-dua agensi ini. Dokumen ini disediakan sebagai panduan yang jelas kepada pegawai-pegawai yang terlibat mengenai matlamat projek dan peranan NAHRIM dan MYSA bagi memastikan kelancaran dan kesinambungan pelaksanaan projek untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
.
Seterusnya, YBhg. Dato’ Ir. Nor Hisham bin Mohd Ghazali, Ketua Pengarah NAHRIM dan ahli mesyuarat telah dibawa melawat fasiliti pengukuran dan pengujian sistem satelit iaitu Fasiliti Kawalan Misi dan Fasiliti Pemasangan, Integrasi dan Pengujian Satelit (Satellite Assembly, Integration and Test – AIT).