Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah menubuhkan satu jawatankuasa induk di bawah Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) iaitu Jawatankuasa Angkasa Kebangsaan (JANGKA). Objektif utama JANGKA adalah untuk memastikan pembangunan sektor angkasa dapat dilaksanakan secara terancang dan berkesan dalam aspek penjanaan ilmu baharu, penerokaan saintifik, pembangunan ekonomi, kesejahteraan masyarakat serta keselamatan dan kedaulatan negara. Usaha ini juga adalah selari bagi merealisasikan inisiatif MOSTI ASEAN Space Economy iaitu program moonshot MOSTI yang bertujuan menjadikan angkasa sebagai sumber ekonomi baharu negara.
.
Mesyuarat JANGKA Bil 1/2025 telah dipengerusikan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 14 Ogos 2025, bertempat di Ibu Pejabat MYSA, Kuala Lumpur. Antara yang dibincangkan adalah status pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030: Malaysia Space Exploration 2030 (MSE2030) termasuk pembentangan Pemerkasaan Garis Kebolehlaksanaan Panduan Kajian Pembangunan Kemudahan Pelancar di Malaysia, dan Memperkukuh Ekosistem Sains Angkasa Negara.
.
Mesyuarat turut membincangkan pelaporan pembangunan sektor angkasa negara bagi setiap jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Teknikal (JKT) Teknologi, Penyelidikan dan Inovasi; JKT Keselamatan dan Ketenteraman Awam; JKT Pembangunan Industri dan Ekonomi; dan JKT Pendidikan dan Pembudayaan. Keempat-empat JKT ini memainkan peranan penting dalam merancang, memantau dan menyelaras program pembangunan sektor angkasa negara secara menyeluruh dan berkesan.
.
Mesyuarat telah dihadiri oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI; YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI; dan YBhg. Dato’ Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah MYSA; serta kehadiran daripada pelbagai Kementerian/Jabatan/Agensi yang berkaitan.
.
DAN2030 membuka era baharu dalam usaha negara menguasai teknologi maju angkasa lepas menjelang 2030. Pelaksanaan dasar diterajui oleh MOSTI melalui MYSA menyasarkan untuk teknologi angkasa:

Menjadi salah satu sumber ekonomi baharu negara

Meningkatkan sumber kepakaran dan keupayaan tempatan (membangun sumber kepakaran yang mencukupi)

Meningkatkan penguasaan sains dan teknologi maju negara

Menyediakan peluang pekerjaan baharu
.
Hasil pendapatan sektor angkasa negara bagi tempoh 2017 hingga 2024 sebanyak RM6.21 bilion. Sasaran negara menjelang 2030, sektor angkasa dijangka menyumbang kepada:

sekurang-kurangnya 1% (RM10 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)

mewujudkan sehingga 5,000 peluang pekerjaan baharu

RM40 juta pasaran data

Malaysia menduduki tangga ketiga teratas di Asia Tenggara dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi angkasa.