MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

MESYUARAT LEMBAGA ANGKASA MALAYSIA BILANGAN 1 TAHUN 2024 PADA 30 OGOS 2024
Mesyuarat Lembaga Angkasa Malaysia (MSB) telah bersidang buat pertama kali pada tahun ini dengan dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merangkap Pengerusi MSB. Manakala, Penguasa Angkasa bertindak sebagai Setiausaha Eksekutif kepada Mesyuarat MSB yang diselaraskan oleh Bahagian Penguasa Angkasa MOSTI (BPAngkasa).
 
Mesyuarat turut dihadiri ahli-ahli MSB daripada Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Digital, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, dan Majlis Keselamatan Negara. Turut hadir sama adalah Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia, Penasihat Undang-Undang MOSTI dan wakil daripada Kementerian Luar Negeri.
 
Mesyuarat kali ini membincangkan berkaitan pertimbangan bagi cadangan Malaysia menyertai Triti Angkasa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOOSA). Penyertaan ini dilihat akan mendatangkan kelebihan kepada kelestarian pembangunan ekosistem sektor angkasa negara, baik dari segi kemajuan teknologi mahupun limpahan ekonomi kepada Malaysia. Namun begitu, penyertaan ini haruslah menimbang tara antara manfaat dan implikasinya berdasarkan keadaan semasa, kemampuan, keselamatan dan kepentingan negara.
 
Setelah mengambil kira kesemua aspek, termasuk suasana geopolitik serantau dan saranan daripada Jawatankuasa Kerja Triti Angkasa, MSB telah sebulat suara bersetuju agar Malaysia menyertai dua (2) daripada lima (5) triti angkasa iaitu Treaty on Prinviples Governing the Activities of States in the Exploration and Use of Outer Spaces, including the Moon and Other Celestial Bodies (OST 1967) dan Convention on Registration of Objects Launched into Outer Space (REG 1975).
 
Mesyuarat juga dimaklumkan mengenai Laporan Verifikasi Penemuan Objek Asing di perairan Malaysia. Proses verifikasi objek asing ini adalah merupakan antara skop tugas BPAngkasa selaku badan yang mengawal selia aktiviti angkasa negara di bawah Akta 834.
 
Perkara ini penting dalam memastikan keselamatan negara terjamin berikutan kemajuan sektor angkasa global yang semakin rancak melalui kekerapan aktiviti pelancaran yang tinggi dijalankan di seluruh dunia. Hal ini perlu diberi perhatian dan pengawasan terperinci memandangkan Malaysia terletak di antara laluan trajektori utama pelancaran objek angkasa yang boleh mendatangkan risiko kemalangan atau bencana angkasa.
 
Inisiatif penyertaan Malaysia dalam triti angkasa dan proses verifikasi objek asing disyaki objek angkasa akan memperlihatkan Malaysia sebagai sebuah pemain industri angkasa global yang komited dan bertanggungjawab dalam hal-ehwal berkaitan pengurusan kelangsungan aktiviti angkasa negaranya sekaligus dapat meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sistem tadbir urus dan kawal selia sektor angkasa negara yang mampan. Seterusnya, menjadi pemangkin kepada kemajuan teknologi angkasa negara melalui ekosistemnya yang lestari selaras dengan visi Dasar Angkasa Negara 2030.
Skip to content