Majlis Perhimpunan Bulanan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah berlangsung secara hibrid pada 4 Ogos 2022 dan disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Azlikamil Napiah, Ketua Pengarah MYSA bersama warga kerja Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
.
Antara intipati ucapan Ketua Pengarah MYSA turut menyentuh berkenaan teras ke-5 dalam agenda pelaksanaan Dasar Angkasa Negara 2030 iaitu memperkasa hubungan di peringkat antarabangsa khususnya melibatkan pembangunan dan pengoperasian teknologi angkasa. Justeru penyertaan MYSA pada peringkat antarabangsa perlu diberi penekanan. Perbincangan, pertukaran teknologi atau aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak haruslah diberi penumpuan yang sebaiknya agar dalam jangkamasa 10 tahun akan datang, MYSA bukan sahaja memiliki pengetahuan tetapi mampu meningkatkan kepakaran dan kemahiran khususnya dalam bidang teknologi dan angkasa.
.
YBrs. Tuan Haji Azlikamil Napiah juga menekankan mengenai pentingnya untuk menambah baik sikap kebertanggungjawaban terhadap tugas yang diamanahkan dalam mewujudkan organisasi yang berjaya dan berintegriti yang menjadi teras kepada setiap individu.
.
Warga MYSA juga diseru untuk terus meningkatkan prestasi dalam usaha merakyatkan sains, menginsankan teknologi serta menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada Keluarga Malaysia.
.
Majlis turut diserikan dengan sesi penyampaian surat pelantikan kepada pegawai terlibat dan penyerahan bendera Malaysia. Perhimpunan diakhiri dengan persembahan khas Multimedia aktiviti MYSA sepanjang bulan Jun dan Julai, tayangan klip video sempena Hari Kemerdekaan Tahun 2022, nyanyian lagu kemerdekaan dan kibaran Jalur Gemilang.