MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN DAN MESYUARAT JAWATANKUASA PEMANDU PROJEK KERJASAMA MYSA-MPB BIL. 1/2022

27 Julai 2022 – Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu (JKP) Projek Kerjasama antara Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Lembaga Lada Malaysia (MPB) Bil. 1/2022 telah diadakan di Ibu Pejabat MYSA, Kuala Lumpur.
.
MoU yang ditandatangani ini adalah bagi meneruskan kerjasama erat yang telah terjalin antara kedua-dua agensi sejak tahun 2018. Majlis menandatangani MoU ini turut disaksikan oleh YBrs. Tuan Haji Baharuddin Bin Dato’ Mokhsen, Pengerusi Lembaga Lada Malaysia (MPB).
.
Seterusnya, Mesyuarat JKP Projek Kerjasama antara MYSA dan MPB telah dipengerusikan bersama oleh YBrs. Tuan Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah MYSA dan YBrs. Puan Jenny George, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MPB.
.
Tujuan utama mesyuarat diadakan adalah untuk menetapkan aktiviti tahun 2022 dan hala tuju projek melalui skop kerjasama iaitu membangunkan dan mengoperasi sistem aplikasi dan pangkalan data yang berteraskan teknologi remote sensing dan teknologi berkaitan bagi tujuan memudah dan memantapkan perancangan, pengurusan dan pemantauan aktiviti pemetaan kawasan tanaman lada di Malaysia.
.
Di penghujung sesi, delegasi telah dibawa untuk melawat stesen kerja pembangunan sistem bagi melihat sendiri pelaksanaan pembangunan dan pengoperasian sistem-sistem aplikasi berteraskan teknologi angkasa yang membantu agensi-agensi kerajaan dalam pelbagai bidang termasuk komoditi.