Ahli Projek Kerjasama antara Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah menyertai Land and Survey (LANDAS) Summit 2025 di Roxy Sematan Beach Resort, Lundu, Kuching, Sarawak. YBrs. Encik Samsuddin bin Omar, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan) MYSA mewakili YBhg. Ketua Pengarah MYSA telah dijemput untuk memberi taklimat bertajuk “Launching from Sarawak : Planning & Requirements for Space Exploration“ kepada pegawai-pegawai JTS pada 25 Februari 2025.
Pada sebelah malam pula, Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Kerjasama JTS-MYSA Bil.1/2025 telah diadakan bagi membentangkan status kemajuan Fasa 3 projek kerjasama dan hala tuju projek. Mesyuarat ini dipengerusikan bersama oleh YBrs. Encik Awang Zamhari bin Awang Mahmood, Pengarah JTS dan YBrs. Encik Samsuddin bin Omar, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan) MYSA mewakili YBhg. Ketua Pengarah MYSA.
Di bawah kerjasama yang terjalin sejak tahun 2009 ini, JTS dan MYSA telah berkongsi kepakaran dalam melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi berteraskan teknologi remote sensing dan teknologi berkaitan seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS), Sistem Penentududukan Global (GPS) dan Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT) bagi bidang berkaitan pemetaan dan pengurusan tanah di Sarawak.
Delegasi MYSA turut diundang menghadiri Majlis Perasmian Penutupan LANDAS Summit 2025 yang telah dirasmikan oleh YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, Timbalan Premier pada 26 Februari 2025 di Hotel Sheraton, Kuching, Sarawak.