MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

KUNJUNGAN HORMAT TKSU (PEMBANGUNAN TEKNOLOGI) MOSTI DAN DELEGASI KE PEJABAT EXCO PAHANG PADA 21 MEI 2024
YBhg. Datuk Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YB Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib, EXCO Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang bagi membincangkan kerjasama yang boleh dilaksanakan di antara pihak MOSTI dan Kerajaan Negeri Pahang dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
 
Usaha ini adalah selaras dengan hasrat memastikan agenda STI dilaksanakan secara menyeluruh melalui pendekatan whole of government dalam pengaplikasian teknologi yang dibangunkan serta program-program pembudayaan STI yang dirancang agar dapat dirasai dan sampai peringkat akar umbi.
 
Delegasi MOSTI turut mengadakan lawatan ke tapak cadangan projek pembangunan bandar angkasa di Cherating, Pahang. Projek pembangunan ini dijangka membawa peluang pelaburan dalam sektor angkasa dari dalam dan luar negara serta memangkin pertumbuhan ekonomi angkasa baharu di Malaysia dalam menyumbang kepada sasaran 1% KDNK negara menjelang 2030. Bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan ini berjalan dengan lancar, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang merupakan agensi di bawah MOSTI sedang menyediakan Garis Panduan Pembangunan Bandar Angkasa untuk dijadikan rujukan kepada pihak-pihak berkepentingan.
 
Lawatan juga dibuat ke atas fasiliti pengekstrakan mikro alga milik Syarikat Next Generation Oil Sdn. Bhd. di Gebeng, Pahang yang menghasilkan bahan api penerbangan mampan (sustainable aviation fuel – SAF). MOSTI menyokong teguh usaha inovasi tempatan yang berpotensi menghasilkan SAF, selaras dengan prinsip yang digariskan dalam Dasar Bioteknologi Negara 2.0. Melalui Kerjasama erat dengan pihak berkepentingan, MOSTI menyasarkan peningkatan teknologi dalam sektor bioteknologi ke tahap yang lebih tinggi.
Skip to content