PENGUJIAN KESERASIAN ELEKTROMAGNETIK
(Electromagnetic Compatibility Test)
Merupakan ujian yang bertujuan untuk memastikan bahawa mana-mana komponen/sistem dalam satelit tidak akan mengganggu atau menghalang pengoperasian komponen/sistem yang lain melalui penyerapan mahupun pelepasan gangguan elektromagnetik.
Selain menguji satelit, fasiliti pengujian ini boleh juga digunakan oleh industri komersial, pusat penyelidikan dan universiti untuk menguji komponen/peralatan/sistem seperti contoh berikut:
i) Aeroangkasa
Peralatan aeroangkasa seperti sistem antena, elektrik dan elektronik untuk sistem kawalan penerbangan juga perlu melalui pengujian ini. Keserasian elektromagnetik yang bersesuaian boleh memastikan pengendalian penerbangan dapat beroperasi dengan baik dan seterusnya dapat mengelakkan sebarang kemalangan.
ii) Automotif
Peralatan automotif seperti odometer, radio dan sistem elektronik perlu diuji terlebih dahulu mengikut keperluan standard tertentu bagi memastikan keselamatan pengguna adalah terjamin. Pengujian ini penting bagi memastikan komponen/peralatan/sistem yang diuji tidak menghasilkan dan mengeluarkan radiasi elektromagnetik terlalu tinggi yang boleh menyebabkan komponen/peralatan/sistem tersebut tiba-tiba tidak beroperasi semasa digunakan.
Contoh lain bagi komponen automotif adalah enjin motosikal yang perlu melalui pengujian keserasian elektromagnetik yang ditetapkan oleh standard. Ini bagi memastikan rekabentuk enjin tidak menghasilkan dan mengeluarkan radiasi elektromagnetik terlalu tinggi yang menyebabkan enjin tersebut tiba-tiba tidak beroperasi.
iii) Barangan pengguna
Sistem seperti penghawa dingin, pemampat udara, perkakasan elektrik dan elektronik perlu melalui proses pengujian keserasian elektromagnetik supaya tidak mengeluarkan radiasi elektromagnetik terlalu tinggi untuk mengelakkan gangguan terhadap sistem-sistem lain yang berada di sekitarnya. Ini dapat memastikan pengguna dapat menggunakannya tanpa sebarang gangguan.
Untuk info lanjut, sila layari:
https://www.mysa.gov.my/mysa2022/…/electromagnetic-compatibility-test/
#MYSA #MOSTI #STI
#MSN2020 #KeajaibanSains #ScienceForLife #KitaJagaKita