Fasiliti Pemasangan, Integrasi dan Pengujian Satelit (Satellite Assembly, Integration and Test (AIT) Facility)
Projek pembangunan Fasiliti AIT terletak di Banting, Selangor, merupakan fasiliti yang pertama dibangunkan di Asia Tenggara untuk melaksanakan pengujian dan pengukuran ke atas satelit/komponen satelit. Projek ini dimulakan pada tahun 2007 dengan perolehan peralatan-peralatan pengujian.
Pembinaan bangunan serta pemasangan peralatan pengujian yang bersaiz besar dan canggih ini bermula pada tahun 2010 dan siap sepenuhnya pada tahun 2014. Proses ini mengambil masa yang agak lama kerana pemasangan setiap peralatan pengujian perlu diselarikan dengan pembinaan bangunan. Selain itu, pentauliahan setiap peralatan hanya boleh dilaksanakan selepas bangunan AIT telah selesai melalui pengujian dan pentauliahan.
Fasiliti AIT merupakan satu pusat sehenti yang menawarkan pengujian mekanikal, persekitaran dan elektromagnetik untuk satelit sehingga seberat 1000kg. Fasiliti ini mengandungi sebuah makmal bersih kategori Kelas 8 mengikut International Standard Organisation (ISO) atau kelas 100,000 mengikut Federal Standard 209E. Ia menyediakan satu persekitaran terkawal serta dilengkapi dengan ruang integrasi yang luas dan pelbagai kemudahan mekanikal bagi membolehkan sebarang pengujian atau pengukuran dilaksanakan ke atas satelit/komponen satelit. Pengujian atau pengukuran perlu dilakukan dalam makmal bersih bagi mengelakkan sebarang kontaminasi yang boleh mengakibatkan kerosakan pada satelit/komponen satelit.
Bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan berkualiti dan mengikut kehendak pelanggan, MYSA telah mendapat pengiktirafan pensijilan ISO 9001:2008 dalam skop Penyediaan Perkhidmatan Penjejakan, Kawalan dan Telemetri Objek Angkasa (TT&C), Perkhidmatan Penentukuran dan Pencirian Radiometrik dan Perkhidmatan Pengujian dan Pengukuran pada 22 Januari 2014. Pada 15 September 2018, pensijilan ini telah dinaiktaraf ke standard terkini ISO 9001:2015 dengan skop Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) bagi Perkhidmatan Pengujian dan Pengukuran Berkaitan Kejuruteraan Mekanikal, Persekitaran Angkasa dan Elektromagnetik bagi Sektor Komersial dan Industri Angkasa.
MYSA mula menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut mulai tahun 2014 bukan sahaja kepada agensi-agensi Kerajaan, tetapi juga kepada industri-industri tempatan, universiti serta pusat-pusat penyelidikan. Kadar caj bayaran yang munasabah bagi setiap jenis perkhidmatan adalah seperti yang termaktub dalam Perintah Fi (Agensi Angkasa Negara) 2017 [P.U. A (64)].
KEPENTINGAN PENGUJIAN DAN PENGUKURAN SATELIT
Sesebuah satelit perlu melalui proses pengujian bagi menguji ketahanan dan fungsinya sebelum ianya dilancarkan ke orbit. Ianya bagi memastikan sesebuah satelit dapat bertahan dan berfungsi seperti yang dikehendaki pada orbitnya. Proses pengujian ini amatlah penting kerana sesebuah satelit yang telah dilancarkan ke angkasa tidak dapat dibaiki lagi jika berlaku apa-apa kerosakan setelah ianya dilancarkan.
Jenis-jenis pengujian utama yang perlu dilaksanakan sebelum satelit dilancarkan:
1) Pengujian Getaran (Vibration Test)
2) Pengujian Keserasian Elektromagnetik (Electromagnetic Compatibility Test)
3) Pengujian Vakum Terma (Thermal Vacuum Test)
4) Pengujian Gema Akustik (Reverberation Acoustic Test)
5) Pengukuran Penjajaran (Alignment Measurement)
6) Pengukuran Perihal Jisim (Mass Properties Measurement)