MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

Penyelidikan di ISS dan Penglibatan Malaysia

INFOGRAFIK22

Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), merupakan platform unik atau makmal penyelidikan yang menyediakan persekitaran angkasa bagi melaksanakan projek penyelidikan seperti sains bumi dan angkasa, fisiologi manusia, biologi dan bioteknologi, sains fizikal, aktiviti pendidikan dan pembangunan teknologi yang tidak dapat dilakukan di Bumi. Platform yang disediakan ISS membolehkan saintis mendedahkan bahan kajian dan menguji teknologi yang dibangunkan kepada persekitaran angkasa yang ekstrem yang dapat membantu dalam aktiviti penerokaan angkasa termasuk bulan dan Marikh. Hampir 3000 penyelidikan daripada lebih 100 negara dilakukan dalam keadaan mikrograviti di ISS.

Mikrograviti adalah keadaan di mana pengaruh graviti hampir sifar (tiada tarikan graviti). Ini boleh dilihat apabila angkasawan terapung-apung di dalam kapal angkasa atau ISS. Selain daripada itu, kesannya ialah sesuatu objek itu akan merasai kehilangan berat atau menjadi ringan.

Angkasawan biasanya akan tinggal dalam keadaan mikrograviti di ISS sekurang-kurangnya selama 6 bulan. Oleh itu, Angkasawan perlu bersenam sekurang-kurangnya 2 jam setiap hari dan mengamalkan diet pemakanan yang ditetapkan bagi mengurangkan kehilangan otot dan jisim tulang.

Penglibatan Malaysia dalam aktiviti penyelidikan di ISS adalah melalui angkasawan pertama negara, Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang ke ISS pada 10 Oktober 2007 di bawah Program Angkasawan Negara (PAN).  Beliau berada di ISS selama 10 hari dan berjaya melaksanakan 6 kajian seperti berikut:

Sains Perubatan

  1. Kesan Penerbangan Angkasa Jangkamasa Pendek Terhadap Fungsi Endotelium dan Inflamasi (Penanda Risiko Penyakit Jantung Koronari);
  2. Osteoblast cellular function during space flight; dan
  3. Eukaryotic Cells in Space.

Mikrobiologi

  1. Kajian kesan persekitaran Angkasa (mikrograviti dan radiasi) ke atas pertumbuhan, profil ekspresi gen dan mekanisme kerintangan antibiotik Enterobacter cloacae; dan
  2. Kesan persekitaran Angkasa (mikrograviti dan radiasi) ke atas mekanisme ketahanan dan perubahan ekspresi profil gen bagi Acinetobacter Baumanii.

Penghabluran Protein

  1. Penghabluran Enzim/Protein Industri di Angkasa (Crystallization of Industrially Important Enzyme/ Protein in Space).

Selain itu, beliau juga melakukan beberapa kajian yang lain dan video demonstrasi seperti gerakan objek berputar seperti gasing bagi tujuan pendidikan dan membawa makanan tradisi Malaysia ke angkasa. Beliau juga menjalankan kewajipan ibadah di ISS berdasarkan garis panduan yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Garis panduan ini dijadikan rujukan kepada angkasawan Islam berkenaan pelaksanaan ibadah di ISS.

Melalui kajian yang dilakukan di bawah Program Angkasawan Negara, negara telah memperoleh manfaat melalui peningkatan sumber manusia termasuk pembangunan 97 modal insan melalui pasukan yang mengendalikan kajian di angkasa dalam bidang saintifik, pengurusan projek, jurutera komunikasi dan 13 pelajar pasca siswazah dihasilkan serta bilangan ini semakin bertambah dari masa ke semasa sehingga kini.

Program Angkasawan Negara kemudiannya dijenamakan sebagai Program Mikrograviti Negara yang diteruskan sehingga kini melalui kerjasama antarabangsa dan melibatkan penyertaan daripada pelbagai agensi kerajaan dan institusi penyelidikan termasuk universiti.

Untuk info lanjut serta bahan bacaan lain yang berkaitan sila layari:

•        https://www.nasa.gov/audience/forstudents/5-8/features/nasa-knows/what-is-the-iss-58.html

 
 
Skip to content