Stesen Bumi Telemetri, Penjejakan dan Kawalan yang dikenali sebagai Fasiliti Kawalan Misi (FKM), Kompleks Teknologi Angkasa, MYSA di Kampung Sungai Lang, Banting, Selangor mula beroperasi pada 5 Mei 2005 telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia ke-5 Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pada 4 Oktober 2006.
Fasiliti Kawalan Misi MYSA adalah dimiliki dan dikendalikan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang menyediakan sistem komunikasi bagi kedua-dua laluan menaik (uplink) dan laluan menurun (downlink) di antara stesen bumi dengan objek angkasa (satelit). Fasiliti ini mempunyai dua sistem antena iaitu antena bersaiz 5.0 meter diameter yang boleh menjalankan operasi Penjejakan, Telemetri & Kawalan (TT & C) dalam julat frekuensi Jalur-S dan antena bersaiz 7.3 meter diameter iaitu Sistem Penerimaan dan Pemprosesan Imej (IRPS) yang beroperasi dalam julat frekuensi Jalur-X. Penggunaan frekuensi ini adalah selaras dengan penetapan yang ditentukan dan dikawal selia oleh International Telecommunication Union (ITU) di peringkat antarabangsa dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di peringkat negara.
Kedua-dua sistem antena ini berupaya menjalankan operasi penjejakan dalam pelbagai mod iaitu Auto, Program dan Manual melalui saluran Right Hand Circular Polarization (RHCP) atau Left Hand Circular Polarization (LHCP). Sistem ini mempunyai keupayaan untuk menerima data menggunakan kedua-dua saluran secara serentak.
Lokasi Fasilitii:
Fasiliti Kawalan Misi kendalian MYSA menyediakan platform kawalan bagi pengoperasian sesebuah satelit orbit rendah dan sederhana pada komunikasi dua hala seperti berikut:
• Dua sistem antenna
• 5.0 meter untuk tujuan Penjejakan, Telemetri & Kawalan (TT&C) pada julat frekuensi jalur-S
• 7.3 meter antenna untuk kedua-dua julat frekuensi jalur S dan X untuk TT&C dan Penerimaan Imej dan Sistem Pemprosesan (IRPS)
• Mod penjejakan dalam Auto, Program dan Manual
• Circular polarization dalam RHCP dan LHCP
• Berupaya menerima data dalam kedua-dua polarisasi secara serentak
JALUR-S (TT&C) | JALUR-X | |
Frekuensi Uplink | 2025 MHz – 2110 MHz | – |
Frekuensi Downlink | 2200 MHz – 2290 MHz | 8000 MHz – 8400 MHz |
Gain over Temperature (G/T) | 19 dB/K | 31.5 dB/K |
Kelajuan Kadar Data Maksimum | 20Mbps (Uplink) | 640Mbps |
Tiga fungsi utama FKM ialah:
1️⃣ Telemetri
Penerimaan dan pemantauan maklumat dari objek angkasa (contohnya: suhu, tahap kuasa dan attitude control) secara komunikasi downlink dari objek angkasa ke stesen bumi.
2️⃣ Penjejakan
Mekanisma penentuan kedudukan objek angkasa bagi mengekalkan komunikasi antara stesen bumi dan objek angkasa secara Line of Sight dengan berpandukan pada parameter orbit berkaitan seperti Two Line Elements (TLE) sama ada pada orbit rendah (LEO), orbit sederhana (MEO) mahupun orbit geo-pegun (GEO).
3️⃣ Kawalan
Arahan dan kawalan yang dihantar secara komunikasi uplink dari stesen bumi ke objek angkasa bagi membolehkan objek angkasa memberikan tindak balas yang sepatutnya untuk beroperasi dengan baik.
FKM dibangunkan khusus bagi perkhidmatan pengoperasian misi angkasa sama ada misi angkasa negara mahupun antarabangsa sejak tahun 2005. Melalui kerjasama strategik antarabangsa, fasiliti ini telah memberikan perkhidmatan Telemetri, Penjejakan & Kawalan (TT&C- Telemetry, Tracking and Command) kepada agensi luar seperti European Space Agency (ESA), Surrey Satellite Technology Limited (SSTL), United Kingdom, Swedish Space Corporation (SSC), Sweden, Indian Space Research Organisation (ISRO), India, Institute of Space Systems (IRS), University of Stuttgart, Jerman dan Beijing Aerospace Satelliteherd Company Limited (SATHD), China.
Untuk info lanjut, sila layari:
http://www.spaceops.org/about-space-ops/at-large-members/
Bermula tahun 2019, MYSA menganggotai The International Committee on Technical Interchange for Space Mission Operations and Ground Data Systems (SpaceOps) selaku ahli Committee-at-Large (C@L) iaitu komiti teknikal yang mengkoordinasi semua isu berkaitan pengoperasian sistem angkasa.
Perkhidmatan TT&C kepada misi angkasa :
7 November 2020
Misi pelancaran roket GSX-1 (Ceres-1) milik Galactic Energy (Beijing) Space Technology Co. Ltd. dengan kerjasama rakan strategik Beijing Aerospace Satelliteherd Co. Ltd. (SATHD)
Oktober 2018
Misi pengoperasian satelit Flying Laptop milik Institute of Space Systems (IRS), University of Stuttgart, Jerman
5 Januari 2014
Misi Pelancaran roket Geosynchronous Satellite Launch Vehicle (GSLV-D5) milik ISRO
14 Julai 2009-8 Februari 2010
Satelit Penderiaan Jauh Negara RazakSAT®
28 Disember 2005-31 Mac 2006
Misi satelit Launch Early Operation Phase (LEOP) untuk misi satelit Gallileo In-Orbit Validation Element (GIOVE-A) milik kesatuan Agensi Angkasa Eropah (ESA)